RM50,000 untuk wakil rakyat Johor bantu tangani Covid-19, kata MB


Menteri Besar Johor Hasni Mohamad berkata peruntukan RM50,000 diberikan kepada semua wakil rakyat negeri termasuk pembangkang dalam usaha menangani pandemik Covid-19. – Gambar The Malaysian Insight, 27 Mei, 2021.

JOHOR menyediakan peruntukan tambahan RM50,000 kepada semua wakil rakyat negeri itu, termasuk pembangkang dalam usaha menangani pandemik Covid-19, kata menteri besarnya Hasni Mohamad.

Katanya, peruntukan itu adalah untuk melibatkan mereka menyalurkan maklumat yang betul mengenai Covid-19 kepada rakyat.

“Diakui mengurus pandemik ini adalah satu cabaran yang besar dan pandangan serta penglibatan semua pihak termasuk daripada semua wakil rakyat amat dialu-alukan dalam memastikan kemakmuran negeri ini.

“Saya berharap penglibatan daripada semua Ahli Parlimen dan Adun Johor dalam program advokasi dan membantu meuar-uar informasi yang tepat dan sahih berkaitan usaha kerajaan menangani pandemik Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada masa sama, kerajaan Johor juga merancang untuk memberi pakej rangsangan ekonomi yang ketiga untuk rakyat negeri selain bakul makanan dengan peruntukan RM10 juta, tambahnya.

Hasni membuat pengumuman itu selepas mempengerusikan mesyuarat secara maya bersama wakil rakyat Johor mengenai kebajikan rakyat di tengah wabak Covid-19.

Mesyuarat diadakan susulan titah Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang mahu kerajaan negeri melibatkan semua wakil rakyat persekutuan dan negeri dalam urusan itu, ketika Parlimen dan Dewan Undangan Negeri tidak dapat bersidang kerana perintah darurat.

Menurut Hasni, dalam perbincangan tersebut, semua wakil rakyat menyuarakan pandangan dan memberi kepercayaan kepada kerajaan negeri untuk memimpin pelbagai usaha menangani pandemik Covid-19 di Johor.

Beliau juga berharap perbincangan rentas parti politik “cara Johor” ini dapat dicontohi dalam mendepani Covid-19.

Johor hari ini mengesan 549 kes baharu Covid-19, daripada 7,857 yang dikesan di seluruh negara dalam masa 24 jam yang lalu. – 27 Mei, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen