PEMIMPIN Umno menuduh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin bersikap pilih bulu apabila pentadbirannya memecat Tajuddin Abdul Rahman daripada jawatannya sebagai pengerusi Prasarana Malaysia Berhad.
Mereka beranggapan Muhyiddin yang juga presiden Bersatu sepatutnya mengambil tindakan sama terhadap menteri dan timbalan menteri yang menunjukkan prestasi rendah dalam Kabinetnya.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Mohd Razlan Rafii berkata pentadbiran Muhyiddin hanya membazir wang negara apabila menyimpan menteri dan timbalan menteri yang tidak mampu menjalankan tugas dengan baik, lebih-lebih lagi di tengah penularan wabak Covid-19.
“Dalam keadaan krisis hari ini ada banyak menteri tak buat kerja. Ini masa darurat, untuk gerakkan isu Covid-19 kita tak perlukan banyak kementerian.
“Menteri yang tak buat kerja tak payah (dikekalkan). Ini menteri yang habiskan duit rakyat… bayar gaji tapi menteri tak berfungsi,” kata Razlan, kepada The Malaysian Insight, ketika dihubungi.
Beliau bagaimanapun tidak menamakan siapa yang patut atau tidak patut dilantik.
“Biar perdana menteri putuskan (siapa akan dilantik), lantikan adalah kuasa perdana menteri tetapi jangan ada ‘double standard’.
“Kalau berani pecat orang ini (Tajuddin) kena berani juga pecat orang lain,” tambahnya.
Semalam, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz menamatkan perkhidmatan Tajuddin ketika ada desakan kuat daripada orang ramai untuk Ahli Parlimen Pasir Salak itu dipecat.
Orang ramai mencemuh sikap yang Tajuddin tunjukkan semasa mengendalikan sidang media mengenai kejadian tren LRT bertembung di laluan bawah tanah antara stesen KLCC dan Kampung Baru pada Isnin malam.
Tajuddin dilantik menerajui Prasarana pada Mei tahun lepas, tidak lama selepas percaturan politik yang mengangkat kerajaan PN ke Putrajaya.
Prasarana ialah syarikat milik kerajaan melalui Kementerian Kewangan Diperbadankan yang mengendalikan pengurusan pengangkutan awam di Semenanjung Malaysia.
Sementara itu, Ketua Umno Sri Gading Ab Aziz Kaprawi akur Tajuddin perlu letak jawatan untuk memulihkan semula imej Prasarana susulan kemalangan dua tren transit aliran ringan (LRT) pada Isnin dan kegagalan beliau mengendalikan sidang media sehari kemudian dengan berhemah.
Namun katanya, menteri Perikatan Nasional (PN) juga tidak terkecuali gagal mengendalikan krisis wabak Covid-19 dan perlu dikenakan tindakan.
“Adakah kerana Tajuddin bukan penyokong tegar PN maka beliau boleh ‘dikorbankan’?
“Bagi saya, pemecatan Tajuddin tidak lebih daripada sekadar usaha kerajaan PN ingin mendapatkan populariti secara mudah dan bertujuan untuk mengalih perhatian rakyat terhadap isu yang lebih kritikal,” katanya.
Aziz menyenaraikan kegagalan kepimpinan PN di tengah wabak Covid-19 ini yang antaranya membabitkan isu-isu kesihatan awam dan ekonomi.
“Hari ini pula, rata-rata rakyat menzahirkan rasa kecewa dengan sistem pendaftaran vaksin AstraZeneca yang gagal diakses dengan baik.
“Siapa pula perlu dipecat atas kegagalan demi kegagalan ini?” tanya Aziz.
Dalam pada itu, seorang lagi anggota MKT Mohd Puad Zarkashi menggesa Tajuddin menarik sokongan daripada PN.
“Kamu sudah dipecat sebagai pengerusi Prasarana. Umum segera tarik sokongan terhadap Muhyiddin, takut apa lagi,” kata Puad.
Setakat ini, dua wakil rakyat Umno, iaitu Mohamed Nazri Aziz (Padang Rengas) dan Ahmad Jazlan Yaakub (Machang) yang menarik sokongan terhadap PN secara terbuka.
Ketua Penerangan Barisan Nasional Selangor Isham Abdul Jalil pula malah menggesa semua menteri dan timbalan menteri Umno dan wakil rakyat Umno menarik sokongan mereka.
“Semakin lama kita bersama dengan kerajaan PN ini selagi itulah kita tidak akan mengubah arah tuju dasar negara dan hanya mengikut dari belakang dalam kerajaan yang gagal,” katanya. – 27 Mei, 2021.
Komen