AstraZeneca dimasukkan dalam program imunisasi kebangsaan, kata menteri


Raevathi Supramaniam

Khairy Jamaluddin berkata menerusi MySejahtera, orang ramai memilih tarikh temu janji, tempat dan jenis vaksin dikehendaki. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Mei, 2021.

TIADA lagi opt-in atau daftar diri sukarela untuk vaksin Covid-19 AstraZeneca selepas ini, dan ia akan dimasukkan ke Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan seperti vaksin lain, kata Khairy Jamaluddin.

Menteri penyelaras program itu berkata pilihan atau daftar diri sukarela diberikan sebelum ini kerana orang awam ragu-ragu untuk mengambil vaksin berkenaan susulan laporan berkenaan masalah darah beku.

“Selepas melihat sambutan daftar sukarela bagi fasa pertama dan kedua, menunjukkan ragu-ragu terhadap AstraZeneca sudah berkurangan,” katanya.

Aplikasi MySejahtera akan dinaik taraf untuk membolehkan orang awam memilih vaksin yang mereka mahukan selepas ini, kata Khairy pada sidang media secara maya hari ini.

“Lebih mudah menggunakan MySejahtera dan menggalakkan orang ramai guna aplikasi itu. Ia akan membolehkan orang ramai memilih tarikh temu janji, tempat dan jenis vaksin.”

Khairy yang juga menteri sains, teknologi dan inovasi turut memohon maaf kepada rakyat Malaysia berhubung kesulitan ketika pendaftaran sukarela AstraZeneca semalam.

“Sebagai menteri bertanggungjawab, saya minta maaf kepada semua yang menghadapi masalah di laman web berkenaan, terutama bagi yang tidak berjaya membuat tempahan,” katanya. – 27 Mei, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen