Undang-undang darurat mesti dibentangkan di Parlimen, kata bekas speaker


Noel Achariam

Bekas speaker Dewan Rakyat Mohamad Ariff Yusof penggantungan Parlimen dalam keadaan darurat tidak munasabah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Mei, 2021.

PENGISYTIHARAN darurat dan undang-undangnya mesti dibentangkan di Parlimen, kata bekas speaker Dewan Rakyat Mohamad Ariff Yusof.

“Semua pengisytiharan mengenai Darurat perlu dibentangkan di Parlimen, tetapi itu tidak berlaku.

“Parlimen perlu bersidang kerana itulah cara demokratik. Ahli Parlimen juga melaporkan kepada rakyat dan tanpa Parlimen demokrasi kita tercemar,” katanya semasa perbincangan dalam talian mengenai “Hak-Hak Rakyat dan Darurat dan pandangan Perlembagaan”.

Ariff menambah bahawa penggantungan Parlimen dalam keadaan darurat tidak munasabah.

Pada 12 Januari, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengisytiharkan darurat di negara ini sehingga 1 Ogos bagi mengekang peningkatan jumlah jangkitan Covid-19.

Muhyiddin berkata keadaan darurat yang bertujuan memberi kerajaan lebih banyak kuasa bagi memerangi wabak tersebut.

Awal hari ini Timbalan Speaker Dewan Rakyat Azalina Othman Said mengulangi rayuannya kepada kerajaan untuk membuka Parlimen.

Azalina mendesak kerajaan membenarkan Parlimen bersidang dalam tempoh darurat, selepas gesaannya sebelum ini tidak diendahkan.

Ahli Parlimen Pengerang itu menambah, penggantungan Parlimen bukan hanya melumpuhkan demokrasi, tetapi juga peranan kerajaan mengambil tindakan terhadap isu membabitkan rakyat.

Ariff hari ini berkata bahawa negara lain menggunakan Zoom dan platform maya untuk sesi Parlimen mereka, jadi Malaysia patut melakukan perkara yang sama.

“Tidak perlu menggantung Parlimen. Rakyat sedang mengawai (tindakan kerajaan). Mereka diberitahu terutama golongan muda,” katanya.

Ahli Parlimen Sungai Buloh, Sivarasa Rasiah berkata Darurat tidak diperlukan untuk memerangi wabak Covid-19.

“Di seluruh dunia juga memerangi wabak tetapi tanpa Darurat.

“Kita tidak memerlukan Darurat untuk memerangi wabak itu,” katanya.

Beliau menambah bahawa dalam empat bulan terakhir tidak ada yang berjaya dalam membendung penyebaran virus.

“Jumlahnya kini sangat tinggi. Hak demokratik untuk Parlimen bersidang bagi menangani isu juga hilang,” katanya. – 27 Mei, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen