Syed Saddiq disiasat berhubung kenyataan mengenai Tajuddin di Twitter


Elill Easwaran

Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman hari ini disoal siasat kira-kira 90 minit di IPD Dang Wangi berhubung kenyataan mengenai Tajuddin Abdul Rahman di Twitter. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 27 Mei, 2021.

AHLI Parlimen Muar, Syed Saddiq Abdul Rahman hari ini disoal siasat oleh polis berhubung kenyataan di Twitter yang mempersoalkan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 oleh bekas pengerusi Prasarana, Tajuddin Abdul Rahman.

Beliau disoal siasat selama kira-kira 90 minit di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi. 

Ini adalah kali kedua beliau disoal siasat oleh polis berkenaan kandungan media sosialnya.

Sebelum ini pada 22 Mei, beliau disoal berhubung kenyataannya dalam sebuah klip video mendesak keadilan untuk mangsa yang meninggal dunia dalam tahanan. 

Hari ini beliau mempersoalkan adakah tindakan akan diambil terhadap Tajuddin kerana gagal memakai topeng muka di khalayak ramai seperti yang diwajibkan ke atas orang awam di kawasan yang sesak. 

“Syukur kali ini saya masuk dengan peranti mudah alih saya tidak seperti hari itu apabila ia dirampas,” katanya kepada wartawan hari ini. 

Minggu lalu polis merampas telefon bimbit bekas menteri belia dan sukan itu selepas beliau memberikan keterangan di balai polis yang sama. 

Beliau kemudian disoal siasat menggunakan akaun media sosialnya kerana meminta siasatan menyuluruh terhadap kematian A Ganapathy ketika ditahan polis pada 28 April. 

Dalam video itu Syed Saddiq berkata kekejaman polis adalah masalah serius dan jika nasib seperti itu dapat menimpa mangsa, “itu mungkin boleh terjadi kepada kita”.

Polis berkata mereka sedang menyiasat Tajuddin kerana melanggar SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). 

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata mereka membuka siasatan setelah melihat video menunjukkan Tajuddin tidak memakai topeng muka semasa sidang akhbarnya selepas melawat stesen LRT KLCC.

Ahli Parlimen Pasir Salak itu tidak memakai topeng muka tetapi memakai pelindung muka semasa sidang akhbarnya mengenai pelanggaran kereta api LRT Kelana Jaya pada Selasa. 

Pada hari sama Syed Saddiq menerusi Twitternya berkata bahawa pelindung muka tanpa topeng muka adalah pelanggaran terhadap SOP di bawah PKP semasa. – 27 Mei, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen