PHARMANIAGA Bhd akan mengimport 10 juta dos vaksin Covid-19 Sinovac dari China, menurut laporan The Edge Market.
Ia dijangka tiba ke negara ini pada Julai.
Menurut laporan itu, Pengarah Urusan Kumpulan Pharmaniaga Zulkarnain Md Eusope akan membuat tempahan itu sebelum permintaan global meningkat.
Zulkarnain semalam berkata peningkatan permintaan untuk vaksin berkenaan berikutan ia hampir diluluskan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
“Kami meramalkan bahawa apabila ia berlaku, permintaan global untuk Sinovac akan meningkat dan kami mungkin tidak dapat memperolehnya dengan mudah seperti sekarang. Oleh itu, kami merancang untuk membuat tempahan sekarang, sebelum itu berlaku.
“Melihat kepada masalah geopolitik dan isu bekalan di seluruh dunia, bekalan vaksin sukar diramalkan dan berkemungkinan akan berlaku kekurangan bekalan di Malaysia sekiranya ini berlaku,” beliau dipetik sebagai berkata dalam satu sidang media.
Setakat ini syarikat farmaseutikal itu telah menerima satu juta dos vaksin yang sudah siap dari Sinovac dan dua juta dos vaksin diisi dan siap pada Mei.
Zulkarnain berkata anak syarikat Pharmaniaga iaitu Pharmaniaga LifeScience Sdn. Bhd. (PLS) dijangka akan menyiapkan dua juta dos vaksin diisi dan siap manakala tiga juta dos vaksin siap akan diterima daripada Sinovac China bulan depan.
Tambahnya menjelang bulan depan, syarikat itu dapat membekalkan 8.6 juta dos vaksin Sinovac.
PLS katanya sedia meningkatkan pengeluaran daripada dua juta kepada empat juta dos sebulan bagi memenuhi sasaran program vaksinasi kerajaan.
Sehingga 23 Mei, PLS telah melengkapkan pengeluaran 1.89 juta dos vaksin Sinovac.
Pada masa yang sama, Zulkarnain berkata Pharmaniaga sedang menunggu kelulusan Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan China (CFDA) untuk suntikan vaksin Sinovac kepada kanak-kanak berusia tiga hingga 17 tahun dan pengeluaran dua dos setiap botol sebelum menyerahkannya kepada Badan Pengawas Farmaseutikal Nasional (NPRA) bagi proses selanjutnya. – 27 Mei, 2021.
Komen