PROSEDUR operasi standard (SOP) yang ketat tidak mengizinkan ahli keluarga mengiringi majlis pengebumian orang kesayangan mereka yang meninggal dunia akibat Covid-19, kata penyedia perkhidmatan pengurusan kematian.
Hanya seorang waris terdekat dibenarkan mengikuti dengan dekat sepanjang upacara pengebumian, sudah pasti menyayatkan hati keluarga.
Pengurus pengebumian berkata situasi ini juga sukar bagi mereka kerana perlu memastikan SOP dipatuhi supaya tiada siapa dijangkiti virus. Ahli keluarga pula hanya mampu melihat upacara melalui panggilan video.
“Bermula dari ujian Covid-19 sehinggalah (pesakit) masuk ke unit rawatan rapi (ICU), ahli keluarga langsung tidak boleh melihat mereka selama lima hingga ke tujuh hari,” kata Ng Lie Cheng, pemilik rumah pengebumian Ten & Ten Funeral Services.
“Jika pesakit sudah tua dan tidak tahu membuat panggilan video, mereka terpaksa meminta bantuan doktor atau jururawat.
“Begitu juga bagi persiapan pengebumian atau upacara membakar mayat, keluarga ikuti dari panggilan video,” katanya.
Menurut Ng, semasa pandemik Covid-19 mula melanda negara awal tahun lalu, SOP yang ditetapkan tidak jelas, menyebabkan banyak keluarga tidak berpuas hati.
“Sukar bagi mereka apabila dimaklumkan jenazah tidak boleh dimandi dan disolekkan sebagai penghormatan terakhir.
“Ada keluarga yang mahu membawa pulang jenazah untuk upacara sembahyang,” katanya.
Mengikut SOP yang ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM), jenazah mangsa Covid-19 tidak boleh dimandi, disolek dan dipakaikan pakaian bagi mengelakkan risiko jangkitan.
Pengurus pengebumian berkata selepas dikenal pasti, jenazah mangsa Covid-19 perlu dibalut dengan tiga lapisan perlindungan.
Menceritakan pengalamannya, Ng, 48, berkata kali pertama beliau menguruskan jenazah mangsa Covid-19 18 April lalu.
Tugas pertamanya itu mendapat tentangan ahli keluarganya kerana tidak mahu beliau dijangkiti virus.
“Saya beritahu diri sendiri, sebagai pengurus rumah mayat saya kena adil.
“Selepas diberi kepercayaan oleh keluarga si mati, kami perlu laksana tanggungjawab dengan baik.
“Kalau bukan kami, siapa lagi? Sama juga keadaannya, kalau petugas barisan hadapan tak berani hadapi risiko, tak selamatkan orang, jadi siapa pula yang akan selamatkan pesakit?” kata Ng.
Tambahnya, tahun lalu beliau menghadapi masalah kekurangan peralatan perlindungan diri (PPE), yang ketika itu diutamakan untuk petugas barisan hadapan.
“Dalam kes membabitkan bekas pesakit yang meninggal dunia di rumah selepas 20 hari keluar hospital, kita bimbang kalau-kalau virus masih ada dalam badan mereka.
“Jadi, kami tertanya-tanya, adakah kami perlu pakai PPE semasa uruskan mayat? Kerana ketika itu masih belum ada garis panduan yang jelas,” kata wanita yang sudah 15 tahun menjalankan perkhidmatan pengebumian.

Satu pengalaman yang sukar dilupakan Ng melibatkan jenazah warga emas yang perlu dibawa pulang ke Bukit Mertajam, Pulau Pinang pada Februari lalu.
“Saya bertanya jika ada sesiapa di Bukit Mertajam boleh bantu saya kebumikan mangsa tetapi semua orang menolak. Mungkin masa itu kes tak berapa banyak, dan mereka pun tak biasa dengan prosedur.
“Selepas saya dan tujuh yang lain bersarapan, kami terus pakai PPE dari hospital hingga ke Bukit Mertajam. Upacara kebumi selesai jam 6 petang.”
Ng berkata mereka semua terpaksa memakai lampin dewasa kerana sukar untuk menanggalkan PPE untuk ke tandas.
“Mulanya, pekerja tak mahu pakai, tetapi oleh kerana kami bawa mayat dan tak boleh berhenti sepanjang perjalanan, jadi kami pakai juga.
“Kami semua sanggup tak minum atau makan sepanjang perjalanan,” ujarnya.
Kurang tenaga kerja, kerja lebih masa
Pengendali perkhidmatan pengebumian juga berkata jumlah kematian akibat Covid-19 yang meningkat kebelakangan ini menyebabkan mereka terpaksa bekerja lebih masa.
Pengurus besar (jualan dan perkhidmatan) Nirvana Care Teh Khai Lin berkata kakitangan rumah mayat itu bekerja antara 10 hingga 12 jam sehari sejak pertengahan April.
“Industri pengurusan pengebumian tak menang tangan dengan kes yang banyak dan kami kurang rehat.”
Cuti pekerja juga terpaksa dibekukan buat masa ini, tambah Teh.
Katanya lagi, secara purata mereka menerima tiga hingga lima kes Covid-19, bermakna lebih banyak tenaga kerja diperlukan berbanding sebelum pandemik.
“Proses membasmi kuman dan bakar mayat sekarang ambil masa sekurang-kurangnya tiga jam, berbanding satu jam sebelum ini.
“Pandemik ini sudah tidak terkawal. Angka kematian meningkat, bermakna kerja kami juga bertambah sedangkan jumlah tenaga kerja sama sahaja. Sudah pasti ini membebankan pekerja,” katanya. – 27 Mei, 2021.
Komen