ANGKA kematian Covid-19 Brazil melepasi 450,000 orang semalam selepas kelewatan pemberian vaksin dan ahli epidemiologi memberi amaran bahawa gelombang baharu virus lebih teruk akan melanda.
Kementerian kesihatan melaporkan 2,173 kematian dalam tempoh 24 jam terakhir menjadikan jumlah kematian akibat koronavirus di Brazil seramai 452,031, tempat kedua selepas Amerika Syarikat.
Keadaan agak stabil dengan purata 1,854 kematian Covid-19 setiap hari sepanjang minggu lalu – menurun dari lebih 3,000 pada pertengahan April.
Tetapi jumlah jangkitan meningkat sejak awal Mei sehingga kira-kira 66,000 per hari sepanjang minggu lalu.
Dengan 215 kematian Covid-19 per 100,000 penduduk, Brazil merupakan negara paling teruk dilanda di Amerika dan antara paling teruk terjejas di dunia.
Pakar berkata peningkatan terbaru jangkitan sebahagiannya disebabkan oleh pihak berkuasa negeri dan tempatan yang melonggarkan sekatan pandemik sebulan lalu apabila lengkungan virus menunjukkan sedikit penurunan.
Langkah vaksinasi yang perlahan tidak membantu. Kira-kira 20 peratus daripada 212 juta penduduk Brazil menerima dos vaksin pertama.
Dalam perkembangan yang membimbangkan Brazil melaporkan kes pertama yang disebut varian India minggu lalu.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata mutasi itu adalah varian yang membimbangkan yang muncul di Brazil.
Varian India belum disahkan merebak secara tempatan di Brazil. – AFP, 26 Mei, 2021.
Komen