PERIKATAN Nasional menggunakan ancaman siasatan polis dan tuduhan fitnah untuk membungkam perbezaan pendapat dan rasa tidak puas hati disuarakan oleh rakyat Malaysia, kata para aktivis.
Bagaimanapun, tindakan tersebut tidak lagi menakutkan rakyat, kata mereka.
Memberitahu The Malaysian Insight, mereka berkata Putrajaya tidak sedar ancaman berterusan terhadap mereka yang menyuarakan perbezaan pendapat bertentangan dengan hak asasi yang termaktub dalam Perlembagaan Negara.
Pengarah eksekutif Suaram Sevan Doraisamy berkata, ini adalah usaha aktif untuk membungkam pembangkang, namun ia juga bertentangan dengan hak mereka untuk bebas meluahkan rasa tidak puas hati, memberi komen, dan mengkritik tindakan buruk kerajaan.
“Rakyat lebih tahu tentang kepentingan mengkritik dasar dan amalan buruk berbanding sebelum ini malah semakin anda tekan, semakin ramai akan melawan,” kata Sevan kepada The Malaysian Insight.
“Terutamanya sekarang ini, ketika kerajaan sepatutnya perlu fokus membendung pandemik Covid-19, berbanding menggunakan sumber-sumbernya untuk menghalang perbezaan pendapat.
Katanya rakyat mahukan ketelusan dan tindakan yang berkesan. Jika kerajaan gagal melaksanakannya, maka ia akan dikritik.
“Itulah dinamik kuasa. Jika rakyat gelar kerajaan sebagai ‘kerajaan gagal’ maka PN harus menganggapnya sebagai pandangan rakyat dan tidak mengalihkan masalah sebenar dengan menggunakan penguatkuasaan,” kata Sevan.
Sementara itu, Pengerusi Bersih 2.0, Thomas Fann, berkata tindakan keras dan gangguan yang dibuat kerajaan hanya akan menimbulkan kemarahan rakyat.
“Ketidakpuasan waktu ekonomi teruk dan politik tak menentu adalah perkara biasa. Hak rakyat untuk menyatakan pendirian dengan cara aman dilindungi di bawah Perlembagaan Persekutuan. Kerajaan dan polis harus menghormati hak itu,” katanya.
Tambah Fann, tindak balas kerajaan yang tidak seimbang itu kerana kerajaan takut.
“Memandangkan terdapat banyak rasa tidak puas hati di kalangan orang ramai kerana kesan perintah pergerakan berpanjangan, kerajaan mungkin merasa tidak selesa bila ada protes terutama dengan tabnda pagar #KerajaanGagal.”
Tindakan keras Malaysia terhadap suara pengkritik dan ahli politik pembangkang juga menarik perhatian ahli Parlimen Asia Tenggara, meminta Putrajaya untuk menghentikan taktik menekan tersebut. – 26 Mei, 2021.
Berita penuh di sini.
Komen