MISI mencari MH370 secara rasminya diteruskan hari ini selepas kerajaan Malaysia menandatangani perjanjian dengan sebuah syarikat peneroka dasar laut berpangkalan di Amerika Syarikat untuk meneruskan misi itu.
Ocean Infinity Limited sudah menghantar kapal pencari dari Afrika Selatan untuk meneroka kawasan seluas 25,000 kilometer persegi di selatan Lautan Hindi yang dikenal pasti sebagai kawasan terakhir pesawat itu dikesan oleh Biro Keselamatan Pengangkutan Australia pada April tahun lepas.
Malaysia bersetuju membayar syarikat itu berdasarkan prinsip “tidak jumpa-tidak dibayar” yang bermakna syarikat itu hanya dibayar sekiranya mereka menemui lokasi serpihan pesawat atau perakam suara kokpit pesawat dalam tempoh 90 hari.
Jika syarikat itu berjaya menemui sebarang serpihan, mereka akan dibayar sekitar RM82 juta untuk serpihan yang ditemui dalam jarak 5,000 kilometer persegi, RM122 juta untuk kawasan pencarian kedua berjarak 10,000 kilometer persegi dan RM204 juta untuk kawasan pencarian ketiga berjarak 10,000 kilometer persegi. Jumlah keseluruhan kawasan penerokaan yang ditetapkan adalah 25,000 kilometer persegi, walaupun begitu, syarikat itu berpeluang meraih RM285 juta lagi sekiranya menemui kawasan pencarian tambahan selain daripada kawasan pencarian yang ditetapkan itu.
Tetapi, semuanya perlu dilakukan dalam tempoh 90 hari.
Menteri Pengangkutan, Liow Tiong Lai berkata pencarian itu akan bermula pada pertengahan Januari dan bayaran kepada Ocean Limited hanya akan dibuat sekiranya mereka menemui bukti kukuh dalam tempoh ditetapkan. Penemuan itu juga perlu disahkan pegawai tempatan.
“Dalam tempoh tiga bulan ini, mereka perlu mencari di kawasan seluas 25,000 kilometer persegi. Mereka perlu mengesan serpihan pesawat atau perakam suara kokpit atau kedua-duanya.
“Mereka boleh cari tetapi ia perlu dilakukan dalam tempoh 90 hari. Mereka tak boleh buat selamanya, mereka tak boleh ambil masa sampai setahun,” katanya pada sidang media di Putrajaya selepas perjanjian itu dimuktamadkan hari ini.
Liow berkata walaupun keputusan meneruskan pencarian itu adalah “keputusan tiga pihak” bersama-sama dengan kerajaan Australia dan China, kos pencarian akan ditampung oleh kerajaan Malaysia jika syarikat itu berjaya menemui sesuatu.
“Bayaran akan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan Malaysia,” jelasnya.
Liow menambah yang dua anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) akan menyertai kapal pencari itu bagi melaporkan perkembangan terkini kepada Putrajaya.

Kementerian Pengangkutan juga akan mewujudkan pusat kawalan sehenti di Putrajaya bagi memantau pencarian itu bersama-bersama agensi lain seperti Kementerian Luar dan polis.
Ocean Infinity sudah menghantar kapal pencari yang disewa dari Norway, dikenali sebagai Seabed Constructor kerana syarikat itu mahu memulakan pencarian pada Januari dan Febuari ketika cuaca masih baik.
Kapal itu dilengkapi dengan lapan kapal selam automatik, HUGINS yang boleh menyelam sehingga kedalaman 5,600 meter.
Jarak itu lebih dalam berbanding kemampuan kapal selam yang digunakan dalam misi mencari MH370 tahun lepas yang hanya boleh menyelam sehingga 4,000 meter sahaja.
Ketua Pengarah Eksekutif Ocean Limited, Oliver Plunkett berkata yang Seabed Constructor berupaya meneroka sehingga 1,200 kilometer persegi sehari dan mereka menjangka kawasan yang boleh diteroka akan melebihi 25,000 kilometer persegi dalam tempoh ditetapkan.
“Secara kasarnya, kami boleh teroka 1,200 kilometer persegi sehari. Kami akan habis teroka 25,000 kilometer persegi dalam minggu ketiga atau keempat misi mencari.
“Dan kami masih ada 60 hari lagi jika kami tak temui apa-apa, yang membolehkan kami terus mencari (di kawasan lebih luas),” katanya.
Plunkett mengatakan, jika dibandingkan dengan misi mencari sebelum ini, pasukannya mempunyai lebih banyak data termasuklah maklumat pencarian misi sebelum ini serta teknologi yang lebih terkini.
“Tidak adil untuk kata yang apa yang dilakukan sebelum ini ada kesilapan. Sejak itu (misi mencari sebelum ini) ahli saintis sudah melakukan lebih banyak kerja di laut dan ada serpihan (lain) yang ditemui.
“Dari situ kami menilai kawasan yang tepat untuk mencari pesawat itu. Kami ada teknologi yang membolehkan kami meneroka kawasan dengan lebih pantas dan berkesan,” katanya.
Pesawat MH370 Malaysia Airlines yang membawa 239 penumpang, kebanyakannya rakyat China hilang pada Mac 2014 dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing.
Tragedi itu dianggap salah satu misteri utama industri penerbangan dunia, misi mencari sebelum ini diadakan dengan kerjasama kerajaan China, Australia dan Malaysia.
Misi yang diketuai Australia itu dihentikan pada Januari tahun lepas selepas pasukan penyiasat meneroka kawasan seluas 120,000 kilometer persegi berasaskan analisis satelit pergerakan pesawat. – 10 Januari, 2018.
Komen