PENDAFTARAN bagi mendapatkan suntikan AstraZeneca 2.0 bagi individu berusia antara 18 dan 60 tahun akan dibuka 12 tengah hari esok, kata Khairy Jamaluddin.
Ia susulan pendaftaran dibuka untuk individu berusia 60 tahun ke atas di Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang, Johor dan Sarawak dari 23 hingga 25 Mei.
Khairy yang juga menteri penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan berkata sejumlah 1.24 juta dos vaksin AstraZeneca kini tersedia bagi pusingan kedua tawaran imunisasi itu.
Sebelum ini, 268,800 slot suntikan AstraZeneca penuh dalam tempoh tiga jam setengah selepas pendaftaran dibuka pada 2 Mei.
“Kita peruntukkan 1.26 juta dos AstraZaneca sebelum ini tetapi hingga hari ini hanya menerima 228,000 pendaftaran.
“Oleh itu, kita buka bagi kali kedua pendaftaran untuk mendapatkan vaksin secara sukarela kepada umum, bermula tengah hari esok.”
Kerajaan membuka permohonan untuk mendapatkan vaksin AstraZaneca secara sukarela pada Ahad untuk individu berusia 60 tahun ke atas.
Khairy berkata warga emas diberikan tempoh hingga esok pagi untuk mendaftar secara sukarela bagi mendapatkan vaksin AstraZaneca.
“Selepas tempoh itu, kita akan masih memberi keutamaan kepada warga emas menerusi saluran imunisasi kebangsaan secara normal.”
Beliau berkata bagi suntikan secara sukarela vaksin AstraZaneca, empat pusat imunisasi baharu akan digunakan di Pulau Pinang, Johor dan Sarawak.
“Mereka yang sudah mendaftar pada fasa pertama permohonan sukarela dan berada dalam senarai menunggu akan secara automatic diberi slot apabila sistem dibuka esok.”
Khairy berkata lebih 10.85 juta rakyat Malaysia atau 45% daripada individ berusia 18 tahun ke atas sudah mendaftar dalam program imunisasi Covid-19.
“Kira-kira 2.6 juta sudah divaksin dengan 1.58 juta menerima dos pertama dan 905,000 lengkap dua dos.”
Katanya, 1.89 juta individu berusia 60 tahun ke atas sudah menerima suntikan vaksin. – 25 Mei, 2021.
Komen