PENDUDUK Sarawak di kawasan bandar dinasihatkan tidak pulang ke kampung untuk menyambut Hari Gawai susulan peningkatan kes Covid-19, kata sekumpulan pakar kesihatan negeri itu.
Hari Gawai akan diraikan pada 1 Jun ini oleh masyarakat Dayak.
“Jangan balik ke kampung atau rumah panjang sekiranya anda duduk di bandar.
“Menghadkan pergerakan semasa Hari Gawai akan membantu mengurangkan risiko penularan Covid-19.
“Pencegahan dan pengawalan wabak Covid-19 adalah tanggungjawab seluruh masyarakat dan bukan hanya terletak pada agensi kerajaan sahaja,” menurut kenyataan sekumpulan pakar termasuk pakar epidemiologi Sarawak Dr Andrew Kiyu.
Mereka juga berkata Hari Gawai tahun tidak dapat dirayakan seperti kebiasaan berikutan wabak sudah merebak ke sebahagian besar kawasan luar bandar.
“Jumlah rumah panjang yang ditempatkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) juga meningkat pada tahun ini.
“Jumlah kluster di Sarawak juga meningkat,” menurut kenyataan itu lagi, sambil menambah sebahagian besar kluster tercetus akibat pematuhan SOP yang lemah.
Sarawak merekodkan 152 kematian akibat Covid-19 dari Januari hingga April. Sekitar 300 hingga 600 kes baharu dilaporkan setiap hari sejak beberapa minggu lalu.
“Kebanyakan katil di hospital di wad biasa terpaksa digunakan untuk merawat kes Covid-19.
“Wad unit rawatan rapi tidak dapat menampung jumlah pesakit yang bertambah.
“Pusat kuarantin juga penuh,” kata kenyataan itu.
Susulan itu, orang ramai diseru supaya duduk di rumah dan tidak merentas daerah. – 25 Mei, 2021.
Komen