Selangor agresif mahu kekang Covid-19, kata Dzulkefly


Antaranya kerana populasi penduduk padat oleh itu virus perlu dihapuskan secepat mungkin dengan cara agresif, katanya Pengerusi Pasukan Petugas Khas Menangani Covid-19 Selangor Dr Dzulkefly Ahmad.

SELANGOR sedang melaksanakan ujian besar-besaran Covid-19 bagi membantu kerajaan negeri mengenal pasti zon merah dan mengurangkan risiko penularan yang lebih luas, kata Dr Dzulkefly Ahmad.

“Ujian besar-besaran akan membantu negeri mengenal pasti individu yang dijangkiti lebih awal dan mengasingkan mereka bagi menghentikan penyebaran Covid-19,” kata Pengerusi Pasukan Petugas Khas Menangani Covid-19 Selangor (STFC) dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Bekas menteri kesihatan itu berkata Selangor perlu lebih agresif kerana pandemik semakin tidak terkawal. Ia juga merupakan negeri paling padat dalam Malaysia dengan 6.9 juta populasi, selain pusat perdagangan dan industri.

Katanya kes akan kekal tinggi sebab kelewatan melakukan pengesanan kontak dan pengasingan kepada kes-kes kluster, dan kemudiannya akan menjadi kes sporadik dalam komuniti.

“Sekarang ini kes komuniti sudah setanding, bahkan ada daerah dan mukim, serta tempat-tempat kerja dan kilang yang melebihi kes kluster,” kata Dzulkefly.

Oleh itu, Selangor mensasarkan untuk mengenal pasti kawasan yang dijangkiti selain zon merah dengan cepat bagi mengelakkan penyebaran lebih meluas, tambahnya.

Ahli Parlimen Kuala Selangor itu menambah, menjadi keutamaan kerajaan Selangor untuk membuat ujian besar-besaran kerana negeri ini menyumbang 25% daripada KDNK negara.

“Penularan di kilang dan industri serta tempat tinggal pekerja, akan membawa impak buruk kepada produktiviti dan ekonomi serta pendapatan kepada pekerja, seandainya ditutup atau dikenakan PKP.”

Bekas Menteri Kesihatan itu menjelaskan mengapa Selangor memilih untuk melakukan ujian besar-besaran di negeri ini, yang menyebabkan peningkatan besar kes positif setiap hari.

Ujian besar-besaran juga merupakan salah satu sebab mengapa Selangor melaporkan lebih daripada 2,000 kes setiap hari selama 10 hari terakhir, kata Dzulkefly.

“Salah satu sebab kes Selangor kes tinggi adalah kerana saringan bersasar yang dijalankan sejak hujung tahun 2020 dan kini dilanjutkan diseluruh negeri bermula 8 Mei lalu. 

“Kesesakan pekerja serta perindustrian, bersekali dengan mobilisasi manusia yang pesat, kesemuanya terkait langsung dengan kadar penularan serta perebakan virus ini.”

Katanya, Selangor juga berharap dapat mendidik masyarakat mengenai bahaya Covid-19, terutama di kalangan pesakit tanpa gejala. – 24 Mei, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen