SEBUAH kawasan di Tawau, Sabah telah ditempatkan di bawah perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) bermula 25 Mei hingga 7 Jun setelah mencatat peningkatan ketara jumlah kes baharu Covid-19, kata Ismail Sabri Yaakob.
Dalam satu kenyataan, menteri kanan itu berkata Kementerian Kesihatan telah mengesan 37 kes positif di kawasan Taman Abaka, Ladang Table.
“Kadar kebolehjangkitan juga tinggi di daerah ini. Setelah penilaian risiko dibuat, kerajaan bersetuju untuk melaksanakan PKPD di Taman Abaka, Ladang Table,” tambahnya.
Sementara itu, Ismail Sabri mengumumkan PKPD di Kampung Keramat Semporna di Sabah tamat esok.
“Kami kesan 19 kes di Kampung Keramat Semporna dan semua kes sedang dirawat dan ada penurunan jumlah kes,” katanya.
Ismail Sabri juga berkata kadar jangkitan semasa (R-naught) di negara ini masih tinggi.
“Kita berada di tahap 1.2 dibandingkan dengan 0.8 pada pertengahan April. Tidak ada cara lain, kena ketatkan SOP. Tujuannya untuk mendidik rakyat, bukan menghukum,” tegasnya. – 23 Mei, 2021.
Komen