Kes rasuah Guan Eng dibicarakan Mac


Looi Sue-Chern

Mahkamah hari ini menetapkan kes rasuah membabitkan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng akan dibicarakan bermula Mac depan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Januari, 2018.

KES rasuah Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng membabitkan pembelian rumah banglonya pada harga diskaun akan dibicarakan di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang bermula Mac.

Hakim Hadhariah Syed Ismail menetapkan tarikh 26 hingga 30 Mac, 9 hingga 12 April dan 23 hingga 27 April, 7 hingga 10 Mei dan 21 hingga 25 Mei.

“Perbicaraan kali ini akan diteruskan dengan kes pendakwaan.

“Kami jangka akan memanggil lima saksi sehari,” katanya pagi ini ketika prosiding pengurusan kes.

Setiausaha agung DAP itu didakwa pada 2016 berhubung pengezonan semula dua plot tanah untuk dijadikan kegunaan perumahan di Balik Pulau, yang dikatakan memberi manfaat kepada Magnificent Emblem, syarikat yang dikaitkan dengan bekas pemilik tanah itu, Phang Li Koon.

Dalam pertuduhan pindaan, Lim, 57, didakwa menyalah guna kuasa sebagai ketua menteri untuknya dan isteri Betty Chew, 53, dengan menggunakan kedudukan dalam jawatankuasa perancang negeri yang dipengerusikannya untuk meluluskan pengezonan semula plot itu di Komtar pada 18 Julai, 20144.

Jika disabitkan bersalah di bawah Seksyen 23 Akta SPRM, Lim berdepan hukuman penjara 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah rasuah atau RM10,000, yang mana lebih berat.

Beliau berdepan dakwaan kedua berhubung pembelian banglo di Jalan Pinhorn berjumlah RM2.8 juta, yang dikatakan di bawah harga pasaran RM4.27 juta pada 28 Julai, 2016 daripada Phang.

Kesalahan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan itu boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang dua tahun, denda atau kedua-duanya.

Perbicaraan Lim akan menentukan kelayakannya untuk bertanding sebagai calon pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), yang perlu diadakan tahun ini.

Jika didapati bersalah, Lim tidak boleh bertanding pada PRU itu dan terpaksa melepaskan jawatannya sebagai ketua menteri.

Awal hari ini, Timbalan Pendakwa Raya Masri Mohd Daud memohon mahkamah memulakan perbicaraan seawal bulan depan.

Katanya, pihak pendakwaan mempunyai kira-kira 40 saksi untuk dipanggil, dan meminda pertuduhan terhadap Lim.

Phang, seorang ahli perniagaan turut berdepan dakwaan berhubung penjualan banglo itu. Kesnya akan didengar serentak.

Gobind Singh Deo dan R.S.N Rayer bertindak sebagai peguam mewakili Lim yang tidak hadir di mahkamah hari ini. Peguam V. Sithambaram mewakili Phang.

Lim sebelum ini memohon semakan kehakiman terhadap perkara itu, yang menyebabkan kes berkenaan tertangguh beberapa bulan, tetapi Mahkamah Persekutuan pada 14 Disember memutuskan perbicaraan boleh diteruskan. – 10 Januari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen