WALAU ditahan sebagai pesakit Covid-19, sekumpulan individu tidak rela duduk berpeluk tubuh sahaja menghitung detik berlalu.
Seorang pesakit yang mahu dikenali sebagai Din berkata, beliau turut sama membantu selepas melihat pesakit lain menolong meringankan beban petugas baris hadapan di pusat kuarantin.
Din, yang ditemui The Malaysian Insight di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di UiTM cawangan Chendering bertindak demikian bersama dua anaknya.
“Pada mulanya saya seperti yang lain juga, masuk di pusat kuarantin dan buat lah seperti biasa tunggu makanan dan buat hal sendiri.
“Namun apabila saya melihat ada beberapa pesakit Covid-19 yang tampil ke hadapan membantu di pusat kuarantin menjadi pendorong untuk saya menyumbang tenaga juga.
“Bagi saya kalau mereka boleh buat membantu sumbang tenaga, kenapa tidak saya. Saya selalu berpendapat kalau kita mudahkan urusan orang, urusan kita pun akan dimudahkan juga,” katanya
Din, 45, ditempatkan di pusat itu sejak Jumaat bersama dua anaknya berkata pengalamannya berada di pusat kuarantin ini juga menyedarkan dirinya terhadap pengorbanan besar barisan hadapan.
Selain menguruskan pesakit kes Covid-19. petugas barisan hadapan juga terpaksa melakukan kerja bukan di luar bidang tugas mereka di pusat kuarantin.
Oleh itu, pesakit Covid-19 juga perlu cakna terutama dari segi menjaga kebersihan di pusat kuarantin kerana ia memerlukan penglibatan bersama.
“Kita sedar pihak barisan hadapan memang letih untuk mereka nak uruskan seratus peratus itu memang mereka tak kesempatan.
“Ada kerja yang bukan bidang mereka pun. Sebagai contoh bila mereka dah selesai kerja uruskan pesakit jika tempat itu kotor ada sampah mereka perlu kemas kan tempat itu.
“Tapi bila kita dah siap-siap kemaskan tempat itu kita dapat membantu barisan hadapan ini untuk berehat,” katanya.
Beban petugas kesihatan di Terengganu bertambah dengan peningkatan kes berjumlah tiga angka setiap hari sejak Jumaat lepas.
Sebanyak 139 lagi kes baharu Covid-19 direkodkan di negeri itu semalam dengan jumlah keseluruhan sebanyak 6,516 kes.
Mengulas lanjut, Din berkata ramai pesakit yang mahu menolong tapi malu untuk memulakan usaha itu atau tidak tahu bagaimana cara untuk memulakannya.
Katanya banyak benda boleh dilakukan pesakit untuk membantu petugas barisan hadapan seperi mengutip sampah dan mengagihkan keperluan kepada pesakit baharu.
Selain itu, sukarelawan juga boleh membantu memberi maklumat mengenai aktiviti di pusat kuarantin.
“Kalau saya, saya akan tolong tambahkan air panas supaya ibu-ibu boleh gunakan untuk mereka buatkan susu anak mereka.
“Kita mungkin boleh tenangkan pesakit yang baru sampai agar rasa tak tertekan. Itu yang paling penting bagi info kepada mereka.
“Seperti contoh setiap pagi mereka kena turun bawah untuk buat ujian tekanan darah, ambil darah jadi mereka tahu apa perlu dibuat,” katanya.
Beliau juga membantu memaklumkan kepada pesakit jika terdapat anggota keluarga menghantar barang ke pusat kuarantin untuk mengelak barangan itu diambil individu tidak bertanggungjawab.
Katanya lagi petugas barisan hadapan sebenarnya sangat mengalu-alukan jika ada pesakit yang mahu menolong mereka.
“Mereka ini sibuk jadi bila kita ringankan beban mereka mengalu-alukan bantuan itu. Mereka takkan suruh kita.
“Tapi kita sendiri kena tengok apa yang kita boleh tolong tanpa menggangu fungsi atau kerja mereka.
Din berharap ada pesakit yang akan meneruskan usaha tersebut selepas beliau dibebaskan dari pusat kuarantin itu.
Seorang lagi pesakit yang mahu dikenali sebagai Ahmad berkata beliau tidak janggal untuk melakukan kerja sukarelawan kerana banyak terlibat dengan badan pertubuhan bukan kerajaan.
“Sebelum ini saya sudah biasa dengan kerja sukarelawan sebab saya banyak terlibat dengan badan NGO.
“Jadi tidak ada masalah untuk saya membantu menyumbang tenaga di sini walaupun saya pesakit Covid-19,” kata Ahmad, 48.
Menurut Ahmad kerja sukarelawan ini tidak sia-sia kerana ia sebenarnya boleh memberi motivasi kepada pesakit di sekeliling.
“Yang saya perasan bila kita tampil membantu di sini ramai juga yang datang untuk menolong juga.
“Maksudnya secara tidak langsung orang lain pun akan ikut apa yang kita buat. Tidaklah hanya kami je yang buat semua kerja.
“Contohnya bila tiba waktu makan, akan ada ramai pesakit yang akan bantu mengagihkan tanpa disuruh,” katanya. – 23 Mei, 2021.
Komen