Presiden Brazil dikompaun kerana langgar SOP Covid-19


Presiden Jair Bolsonaro dikompaun kerana melanggar protokol kesihatan Covid-19 di tempat awam di Maranhao, Brazil. – Gambar EPA, 23 Mei, 2021.

PRESIDEN Brazil Jair Bolsonaro dikehendaki membayar kompaun kerana melanggar protokol kesihatan Covid-19 di tempat awam, kata seorang gabenor semalam.

Gabenor Maranhao, Flavio Dino, menerusi catatan di Twitter berkata Bolsonaro didenda pihak berkuasa kerana gagal mematuhi undang-undang membendung pandemik semasa perhimpunan di negeri di timur laut Brazil itu.

Dino turut mengingatkan Maranhao melarang perhimpunan melebihi 100 orang dan mewajibkan pemakaian pelitup muka di tempat awam.

Pejabat Bolsonaro diberi tempoh 15 hari untuk membuat rayuan kompaun. Pejabatnya enggan mengulas pertanyaan AFP berhubung perkara itu.

Bolsonaro berada di San Louis di Maranhao bagi menghadiri majlis penyerahan geran tanah, Jumaat lalu.

Presiden itu menentang peraturan membendung wabak Covid-19, dan menggelar Dino “diktator”.

Jumlah kematian akibat Covid-19 di Brazil kedua tertinggi di dunia selepas Amerika Syarikat.

Khamis lalu, kes varian India telah dikesan di Maranhaou, antara negeri miskin di Brazil. Enam kes pertama membabitkan varian itu dikesan pada anak kapal kargo yang didaftarkan di Hong Kong. – AFP, 23 Mei, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen