PARTI-parti India yang mesra Barisan Nasional (BN) berhasrat untuk menyertai gabungan itu, meski hasrat tersebut sekian lama dihalang Kongres India Malaysia (MIC).
Penyertaan itu sekali gus akan membantu BN merampas semula Putrajaya selepas tewas pada pilihan raya umum lalu, kata mereka kepada The Malaysian Insight.
Usaha untuk menyertai BN itu diteruskan selepas MIC pada perhimpunan agungnya bulan lalu memutuskan akan terus menyokong dan kekal bersama kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin. MIC bagaimanapun tidak menyentuh tentang kedudukannya dalam BN.
Keputusan itu juga dibuat susulan Umno muktamad untuk tidak bekerjasama dengan Bersatu yang diterajui Muhyiddin pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Parti-parti ini berkata, hasrat untuk menyertai BN dikuatkan lagi selepas mengadakan pertemuan dengan Timbalan Pengerusi BN Mohamad Hasan bulan lepas.
Pertemuan dihadiri Parti Makkal Sakti Malaysia (Makkal Sakti), Parti Barisan Kemajuan India SeMalaysia (IPF), Parti Bersatu India Malaysia (MIUP), Kongres Indian Muslim Malaysia (Kimma) dan parti berbilang kaum, Parti Cinta Malaysia (PCM).
Kesemua parti ini menyatakan hasrat untuk bertanding atas tiket BN pada PRU15 untuk membantu gabungan itu merampas semula Putrajaya.
Penolong Setiausaha Agung IPF Ganesan Perumal memberitahu The Malaysian Insight, lima parti terbabit akan memberi sokongan pada kepada BN untuk kembali berkuasa.
“Dalam pertemuan itu, kesemua lima parti menyatakan hasrat untuk menyertai BN, dan timbalan pengerusi berkata perkara itu akan dipertimbangkan tetapi perlu dibincangkan dahulu dengan (Pengerusi BN) Ahmad Zahid Hamidi.
“Pertemuan itu disifatkan berjaya kerana sekarang BN tahu ia perlukan kami untuk meraih undi bukan Melayu.
“Kerjasama atas tiket BN akan menambahkan lagi kekuatan gabungan,” kata Ganesan.
Tahun lalu, Mohamad dilaporkan berkata BN terbuka menerima parti-parti lain yang berhajat untuk menyertai gabungan itu, namun perlu mendapat konsensus daripada empat parti komponennya iaitu Umno, MIC, MCA dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS).
Ganesan berkata IPF tidak akan bekerjasama dengan MIC tetapi akan kekal menyokong Umno dan MCA.
Keputusan untuk tidak bekerjasama dengan MIC itu dibuat berikutan Presiden MIC SA Vigneswaran melabel beberapa parti mesra BN sebagai “pengkhianat”, katanya.
Presiden Makkal Sakhti R.S. Thanenthiran berkata partinya akan terus setia kepada BN, dan tidak akan sesekali jadi pengkhianat.
“Kami bukan macam parti lain (merujuk kepada MIC) yang tidak setia kepada BN. Kami tak pernah sekali pun khianat,” katanya.
Presiden MIUP K.S. Nallakaruppan berkata pertemuan dengan Mohamad bulan lalu diadakan bagi membincangkan kerjasama pada PRU15.
Beliau yakin dapat menarik undi bukan Melayu terutamanya masyarakat India, jika parti-parti mesra gabungan itu bertanding atas tiket BN.

Yakin menang PRU15
Ganesan berkata beliau yakin IPF akan diberi beberapa kerusi untuk ditandingi pada PRU15.
“Kami minta tiga kerusi parlimen dan empat kerusi DUN, tetapi terpulanglah kepada BN untuk putuskannya.”
Bagi Makkal Sakti, presidennya Thanenthiran yakin mereka akan dibenarkan bertanding atas tiket BN selepas banyak parti sudah meninggalkan gabungan.
Kekosongan itu, katanya, boleh diisi parti-parti mesra BN.
“Ada banyak kerusi kosong selepas Gerakan dan Parti Progresif Penduduk Malaysia (MyPPP) keluar dari gabungan.
“Kerusi-kerusi ini boleh diagihkan antara parti-parti mesar BN seperti Makkal Sakti, IPF, MIUP, PCM dan Kimma.
“Jadi, kali ini saya yakin BN akan beri Makkal Sakti beberapa kerusi untuk bertanding pada PRU15,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Thanenthiran bagaimanapun enggan mengesahkan sama ada Makkal Sakti memohon kerusi untuk PRU15.
Pada mesyuarat agung tahunannya yang ke-12 tahun lalu, Makkal Sakti memutuskan parti itu bersedia untuk meletakkan calon mereka pada PRU-15 dengan mewakili BN di tiga kerusi parlimen dan tujuh kerusi DUN.
Selepas 61 tahun memegang tampuk pemerintahan, BN tewas kepada Pakatan Harapan pimpinan Dr Mahathir Mohamad pada PRU14. – 23 Mei, 2021.
Komen