PEMAKAIAN dua lapis pelitup muka adalah digalakkan namun tidak diwajibkan, kata Dr Noor Hisham Abdullah.
Ketua pengarah kesihatan berkata menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat, penggunaan dua lapis pelitup muka adalah 95% lebih berkesan terhadap Covid-19 berbanding memakai satu.
“Penggunaan dua pelitup muka di tempat umum dan kawasan berisiko tinggi adalah digalakkan seperti di kawasan hospital.
“Terdapat artikel yang menyatakan virus bukan sahaja boleh merebak melalui cecair tetapi juga melalui udara. Jadi, ia juga lebih baik memakai pelindung muka,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.
Beliau ditanya berhubung gambar beliau memakai dua pelitup muka dan gogel ketika mengadakan lawatan ke Hospital Putrajaya pada Hari Raya yang viral di media sosial.
Dr Noor Hisham berkata demikian untuk menjelaskan ia adalah untuk hospital dan bukan peraturan baharu pemakaian pelitup muka.
Dalam pada itu beliau berkata perintah kawalan pergerakan selama dua minggu akan membantu Kementerian Kesihatan mengurangkan jumlah kes jangkitan.
Ini katanya bagi membolehkan hospital menempatkan lebih ramai pesakit.
“Itu sebabnya dua minggu ini penting untuk menambah bekalan peralatan dan susuan kawasan bagi menempatkan lebih banyak wad dan unit rawatan rapi (ICU).
“Hospital kita kini dalam keadaan kritikal.”
Putrajaya memperketatkan lagi PKP 3.0 bermula 25 Mei, yang mana lebih banyak sekatan dikenakan pada sektor ekonomi dan aktiviti sosial.
Beliau turut mengulangi kenyataan bahawa penggunaan ICU di seluruh Lembah Klang telah melebihi kapasiti 113%, manakala seluruh negara 91%.
Dr Noor Hisham berkata bagi memenuhi peningkatan itu, hospital terpaksa menukar fungsi pelbagai ruang untuk diubah menjadi unit rawatan rapi (ICU) bagi merawat pesakit Covid-19.
“Ini bagi membolehkan pesakit bukan Covid-19 mendapatkan rawatan yang mereka perlukan.
“Sebagai contoh, di Hospital Sungai Buloh sebahagian daripada Jabatan Kecemasan ditukar menjadi tempat rawatan kritikal.”
Beliau berkata ICU 80 katil di Hospital Sungai Buloh, yang merupakan hospital Covid-19 utama di Lembah Klang, mencapai kapasiti 111% semalam, merawat 89 pesakit Covid-19. – 22 Mei, 2021.
Komen