Tiada PKP penuh demi golongan pendapatan rendah, kata Ismail Sabri


PKP penuh tidak dilaksanakan demi kebajikan golongan berpendapatan rendah dan elak lebih banyak perniagaan ditutup, kata Ismail Sabri Yaakob. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Mei, 2021.

PERINTAH Kawalan Pergerakan (PKP) penuh tidak dilaksanakan demi kebajikan golongan berpendapatan rendah dan mengelak lebih banyak perniagaan ditutup, kata Ismail Sabri Yaakob.

Menteri kanan keselamatan itu menjelaskan PKP penuh yang dilaksana di peringkat awal pada tahun lalu menyebabkan kerugian berjumlah RM2.4 bilion dan lebih 800,000 hilang pekerjaan.

“Kalau tutup lagi, golongan peniaga kecil tidak ada pendapatan harian lagi.

“Ramai kata kenapa tidak tutup syarikat industri besar. Saya difahamkan, jika ditutup mungkin ada syarikat besar ini terpaksa tutup perniagaan,” katanya pada sidang media petang ini.

Beliau menjelaskan keputusan Majlis Keselamatan Negara semalam untuk memperketan prosedur operasi standard (SOP) dan bukannya melaksana PKP penuh sekali lagi.

Kemaskini SOP itu antara lain menetapkan masa perniagaan disingkatkan dari jam 8 pagi hingga 8 malam untuk mengurangkan pergerakan orang awam.

Kehadiran di pejabat kerajaan pula dikurangkan kepada 20% dengan kekuatan selebihnya bekerja di rumah, dan hanya 40% kakitangan swasta dibenar hadir ke tempat kerja.

Langkah itu berkuatkuasa dua minggu bermula 25 Mei dalam usaha mengurangkan jangkitan yang pada masa kini meningkat lebih 6,000 kes sehari dengan peningkatan kematian dan rawatan ICU.

Ketetapan baharu itu meliputi 750,000 kakitangan awam dan 6.1 juta pekerja di sektor swasta.

Operasi pengangkutan awam seperti LRT juga diarah dikurangkan sehingga 50% untuk menggalakkan lebih ramai orang kekal di rumah.

Selain itu, kawalan pergerakan dipertingkat dengan menambah sekatan jalan raya bermula tarikh tersebut, katanya.

Ismail Sabri menjawab soalan pemberita ketika hadir sidang media yang disiar langsung bersama Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah. – 22 Mei, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen