SEBANYAK 652 pesakit Covid-19 dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dalam tempoh 24 jam lalu, kata Dr Noor Hisham Abdullah.
Ketua pengarah kesihatan berkata ia tambahan sembilan kes di wad kritikal berbanding angka semalam, iaitu 643 pesakit.
Beliau berkata jumlah pesakit memerlukan alat bantuan pernafasan juga bertambah, di mana 370 kini menggunakan alat bantuan, tambahan tujuh kes berbanding semalam.
Beliau mengulangi kenyataan bahawa penggunaan ICU di seluruh Lembah Klang telah melebihi kapasiti 113%, manakala seluruh negara 91%.
Noor Hisham berkata bagi memenuhi peningkatan itu, hospital terpaksa menukar fungsi pelbagai ruang untuk diubah menjadi unit rawatan rapi (ICU) bagi merawat pesakit Covid-19.
“Ini bagi membolehkan pesakit bukan Covid-19 mendapatkan rawatan yang mereka perlukan.
“Sebagai contoh, di Hospital Sungai Buloh sebahagian daripada Jabatan Kecemasan ditukar menjadi tempat rawatan kritikal.”
Beliau berkata ICU 80 katil di Hospital Sungai Buloh, yang merupakan hospital Covid-19 utama di Lembah Klang, mencapai kapasiti 111% semalam, merawat 89 pesakit Covid-19. – 22 Mei, 2021.
Komen