Polis rampas telefon bimbit Syed Saddiq


Alfian Z.M. Tahir

Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata polis merampas telefon bimbit miliknya selepas disiasat berhubung video yang dimuat naik di media sosial.– Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Mei, 2021.

POLIS merampas telefon bimbit milik bekas menteri belia dan sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman selepas beliau memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi hari ini. 

Ahli Parlimen Muar berkata polis merampas telefon miliknya selepas beliau disoal siasat berhuung video yang dimuat naik di akaun media sosialnya berhubung kematian Ganapathy ketika dalam tahanan polis. 

“Saya tidak pasti sama ada merampas telefon bimbit dilakukan secara sah atau tidak, saya serahkan perkara itu kepada peguam. 

“Soalnya kenapa nak rampas telefon saya? Bagi saya ia tidak perlu kerana saya secara sukarela membenarkan mereka mengakses akaun saya,” katanya kepada pemberita di luar IPD Dang Wangi hari ini. 

Sebelum ini, Syed Saddiq menggesa siasatan telus berhubung kematian Ganapathy pada 28 April ketika dalam tahanan polis menerusi media sosial. 

Dalam video berkenaan, Syed Saddiq berkata keganasan polis merupakan isu yang serius dan sekiranya ia boleh berlaku kepada mangsa, “ia juga boleh berlaku kepada kita”

Beliau turut menggesa agar Suruhanjaya Bebas Aduan Salah Laku Polis (IPCMC) ditubuhkan. 

Kematian Ganapathy mencetuskan kritikan terhadap polis di medis sosial dengan penggunaan tanda pagar seperti #JusticeForGanapathy dan #BrutalityinMalaysia.

Syed Saddiq berkata beliau tidak menyalahkan pihak polis, dan menyatakan siasatan itu datang daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM). 

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 503 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia. – 22 Mei, 2021.

 
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen