SEKTOR swasta lega apabila Putrajaya tidak menguatkuasakan perintah kawalan pergerakan (PKP) penuh, sebaliknya mengetatkan penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP), kata Persekutuan Majikan Malaysia (MEF).
Presiden MEH Syed Hussain Syed Husman berkata keputusan itu akan membolehkan majikan terus memulihkan perniagaan mereka dalam keadaan yang sangat mencabar ini, dan membuka laluan kepada pemulihan ekonomi sepenuhnya.
“MEF ucap terima kasih kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) kerana berhubung dengan industri dan mempertimbangkan pandangan terhadap perniagaan secara berhati-hati,” katanya.
Muhyiddin berkata SOP lebih ketat akan dikenakan terhadap sektor ekonomi dan sosial, dan langkah itu akan diumumkan hari ini, susulan mesyuarat khas dengan MKN semalam.
Negara pada masa ini di bawah PKP, tetapi tidak seperti tahun lalu ketika pandemik bermula, sekatan kali ini lebih longgar daripada aspek aktiviti ekonomi dan keluar rumah.
Bagaimanapun, makan di restoran, perkumpulan sosial, majlis membabitkan orang ramai, perjalanan rentas daerah dan negeri masih dilarang.
Mesyuarat MKN semalam memberi bayangan dan spekulasi PKP penuh, tetapi Muhyiddin berkata memandangkan negara sedang PKP 3.0, langkah penguatkuasaan lebih ketat akan dikenakan.
Menteri kanan Ismail Sabri Yaakob dan Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah dijadualkan mengadakan sidang akhbar bersama pada 5 petang ini.
Syed Hussain berkata pihaknya sedar sukar untuk kerajaan mengimbangkan semua perkara dan keadaan, oleh itu menggesa majikan dan pekerja mematuhi semua SOP. – 22 Mei, 2021.
Berita penuh di sini.
Komen