RoS beri amaran Pejuang hentikan aktiviti, kata Amiruddin


Amiruddin hairan amaran dikeluarkan sedangkan selama ini rayuan pendaftaran Pejuang tidak diendah Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin.– Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Mei, 2021.

JABATAN Pendaftaran Pertubuhan (RoS) memberi amaran kepada Pejuang supaya menghentikan segala kegiatan keahlian dan pengguna logo dalam aktivitinya selagi parti itu tidak disahkan pendaftarannya, kata setiausaha agung penaja Amiruddin Hamzah.

Mereka menerima amaran itu melalui sepucuk surat bertarikh 10 Mei lalu, katanya.

Amiruddin bagaimanapun berkata tindakan RoS itu menghairankan kerana mengeluarkan amaran keras tanpa sebarang asas sedangkan jabatan itu tahu Pejuang sudah mengemukakan rayuan mengenai pendaftarannya tetapi tidak diendah oleh Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin.

“Persoalan yang harus dijawab pihak RoS adalah apakah sumber makluman yang didakwa tersebut dan mengapa ia dibangkitkan kini,” tanyanya, dalam satu kenyataan.

Amiruddin juga mahu tahu apa lagi alasan yang hendak dipakai oleh RoS dan Hamzah untuk tidak meluluskan pendaftaran Pejuang, ketika semua syarat sudah mereka penuhi.

“Jika kelulusan diberikan segera, maka tidak timbul masalah penggunaan nama dan logo parti oleh ahlinya. 

“Kami mendesak RoS dan KDN untuk tidak berdolak dalih lagi, dan segera meluluskan Pejuang supaya segala aktiviti parti dapat dilakukan tanpa melanggar undang-undang,” katanya.

Beliau menambah Pejuang menyerahkan kepada mahkamah untuk membuat keputusan yang adil pada 31 Mei ini.

Mahkamah menetapkan tarikh itu untuk mendengar permohonan Pejuang mencabar tindakan Menteri Dalam Negeri dan RoS yang belum membuat keputusan terhadap rayuan mereka untuk mendaftarkan parti. – 21 Mei, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen