Umno beri 8 tuntutan jika mahu adakan PKP penuh


Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata, langkah drastik diperlukan untuk membendung penyebaran virus dan dalam masa sama memastikan kebajikan rakyat dijaga. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Mei, 2021.

UMNO menetapkan lapan tuntutan kepada Putrajaya jika mahu mendapat sokongan untuk melaksanakan perintah kawalan pergerakan (PKP) penuh bagi membendung penularan Covid-19.

Presiden parti itu, Ahmad Zahid Hamidi berkata, langkah drastik diperlukan untuk membendung penyebaran virus dan dalam masa sama memastikan kebajikan rakyat dijaga.

Di antara lapan tuntutan dicadangkannya adalah PKP ketat 21 hari seperti dilakukan Hong Kong dan Singapura.

“PKP yang akan dilaksanakan sehari sebelum Hari Raya Aidilfitri ini hakikatnya masih membenarkan sektor ekonomi beroperasi seperti biasa sedangkan fakta menunjukkan lambakan kluster jangkitan Covid-19 ini adalah berpunca daripada sektor perkilangan, tapak pembinaan dan pusat membeli-belah.

“Kerajaan seharusnya melaksanakan PKP yang ketat dengan menutup semua sektor ekonomi dan sosial selama 21 hari.

“PKP yang sekadar hangat-hangat tahi ayam ini tidak akan membantu mengurangkan kes jangkitan Covid-19,” katanya melalui satu hantaran di Facebook.

Zahid berkata, moratorium pukal juga harus diberikan kepada semua bagi mengurangkan beban rakyat.

“Kerajaan harus dengan segera mewajibkan sektor perbankan melaksanakan moratorium 3-6 bulan tanpa apa-apa syarat dalam usaha mengurangkan beban rakyat ketika PKP 3.0 ini,” katanya menambah sektor perbankan masih mampu menjana keuntungan ketika PKP pertama dan kedua sebelum ini.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, bantuan wang kepada rakyat mesti ditingkatkan dan dilaksanakan serta-merta.

“Bantuan-bantuan ini tidak hanya memfokuskan kepada B40 semata-mata tetapi juga kepada golongan M40 serta pengusaha-pengusaha Industri Kecil dan Sederhana (IKS).

“Kerajaan Perikatan Nasional harus pertimbangkan untuk meneruskan i-Lestari dan I-Sinar.”

Katanya bayaran sekali beri juga perlu diberikan kepada mereka yang telah terjejas teruk, seperti industri pelancongan.

Zahid juga menggesa kerajaan mempercepat pengedaran 150,000 komputer riba untuk pelajar, memperhebat program imunisasi Covid-19 kebangsaan dan menambah baik skim bakul makanan.

Selain itu beliau turut berkata kerajaan perlu menukar Pusat Transformasi Bandar (UTC) dan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) menjadi pusat hentian setempat untuk rakyat yang memerlukan bantuan selain mendirikan lebih banyak hospital medan sebagai Pusat Rawatan Risiko Rendah Covid-19 (PKRC).

“Pendek kata, biar rakyat derita seketika tetapi hasilnya merangkumi kesejahteraan kesihatan negara,” katanya.

Melalui tuntutan Zahid ini, beliau dan bekas perdana menteri Najib Razak serta Dr Mahathir Mohamad antara pemimpin yang bersuara memberi cadangan hampir serupa kepada kerajaan.

Hari ini Malaysia melaporkan 6,493 kes, meningkatkan jumlah kes negara kepada 498,795 kes. 50 kematian dilaporkan, menjadikan jumlah kematian 2,149. – 21 Mei, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen