Rekod tertinggi 643 pesakit Covid-19 di ICU


Ravin Palanisamy

Rekod baharu jumlah pesakit dirawat di ICU hari ini paling tinggi iaitu 643 individu dengan 50 kematian dalam tempoh 24 jam lalu. – Gambar Facebook, 21 Mei, 2021.

MALAYSIA melaporkan rekod baharu jumlah pesakit dirawat di unit rawatan rapi (ICU) paling tinggi iaitu 643 individu dengan 50 kematian dalam tempoh 24 jam lalu, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah. 

Jumlah itu tambahan kepada 56 kes di wad kritikal berbanding angka semalam, iaitu 587 kemasukan ke ICU.

Noor Hisham berkata jumlah pesakit yang memerlukan bantuan alat pernafasan juga bertambah iaitu 363 hari ini, tambahan 33 kes berbanding semalam.

Beliau berkata jumlah kematian hari ini ialah kedua tertinggi dalam tempoh 24 jam sejak pandemik bermula.

Semalam, Malaysia melaporkan 59 kematian. Jumlah keseluruhan kes kematian setakat ini ialah 2,149. 

Daripada 50 kematian dilaporkan, 22 direkodkan di Selangor, jumlah tertinggi dicatatkan di negeri itu setakat ini, dengan 20 kematian direkodkan pada 17 Mei.

Selain itu, lapan kematian dilaporkan di Sarawak, Johor (5), Kedah (4), Kuala Lumpur (3), masing-masing dua di Negeri Sembilan, Perak dan Melaka sementara seorang masing-masing di Pulau Pinang dan Kelantan.

Mangsa tertua direkodkan ialah 90 tahun, sementara paling muda 33 tahun. – 21 Mei, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen