5 kawasan dikenakan PKPD bermula Ahad ini


Alfian Z.M. Tahir

PKPD dikenakan di lima kawasan itu berikutan peningkatan jangkitan baharu Covid-19 di situ. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 21 Mei, 2021.

PERINTAH kawalan pergerakan dipertingkatkan (PKPD) akan dikenakan di lima kawasan termasuk dua kawasan perumahan di Kuala Lumpur, bermula 23 Mei hingga 5 Jun, kata Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob.

Lima kawasan tersebut ialah Kampung Pagar Sungai Imam di Tawau Sabah, dua asrama pekerja di Kluang, Johor - asrama pekerja kilang kain Oceanic dan asrama pekerja Purnabina, dan Kampung Batu Muda Tambahan dan PPR Kampung Limau di Kuala Lumpur.

“Kami memutuskan untuk mengenakan PKPD setelah kelima-lima kawasan ini mencatatkan peningkatan jangkitan baharu Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ismail Sabri berkata, di Kampung Pagar Sungai Imam, 24 kes positif dikesan sementara asrama Oceanic Fabric Mills mencatatkan 25 kes manakala 31 kes di asrama Purnabina.

“Kementerian Kesihatan juga mendapati di kedua-dua asrama pekerja, kadar kebolehjangkitannya tinggi dan kami menjangkakan kes akan meningkat,” tambah Ismail Sabri.

Bagi dua kawasan di Kuala Lumpur, Ismail Sabri berkata 76 kes dikesan di Kampung Muda Tambahan sementara 59 orang dari PPR Kampung Limau dijangkiti.

“Terdapat peningkatan ketara dalam jangka waktu singkat di kedua-dua kawasan di Kuala Lumpur. Tahap jangkitan juga tinggi,” katanya.

Katanya semua prosedur operasi standard boleh didapati di www.mkn.gov.my.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata kerajaan juga telah bersetuju untuk melanjutkan PKPD di tiga kampung di Bunut Susu, Pasir Mas di Kelantan hingga 5 Jun.

PKPD di tiga kampung itu sepatutnya tamat pada 22 Mei.

“Tiga kawasan itu ialah Kampung Paya Ular, Kampung Bechah Palas dan Kampung Tualang,” kata Ismail Sabri.

“Masih ada kes aktif yang dijumpai di tiga tempat itu,” katanya.

Setakat ini, Kementerian Kesihatan telah mengesan 94 kes dari Kampung Paya Ular, 75 kes dari Kampung Bechah Palas dan 69 kes dari Kampung Tualang. – 21 Mei, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen