SERAMAI 930 arahan kuarantin dikeluarkan Jabatan Kesihatan negeri Sarawak semalam kepada individu tanpa gejala suapaya mengasingkan diri di daerah Kuching sahaja, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Dr Sim Kui Hian.
Sim, penasihat utama dalam jawatankuasa pengurusan bencana negeri, melalui hantaran di Facebooknya hari ini berkata bahawa individu terbabit adalah antara 1,485 orang yang telah pergi ke Pusat Sehenti Covid-19 (COSC) di balai raya Bandar Kuching Selatan di Padungan untuk disaring.
Katanya majoriti mereka yang datang untuk disaring, seramai 1,185 memilih menggunakan perkhidmatan pandu lalu.
Itu, tambahnya, adalah sebab kesesakan jalan raya luar biasa di jalan dan punca kenapa sampel mereka lambat.
Sim, pakar kardiologi perunding terlatih berkata, walaupun waktu operasi pusat tersebut adalah dari pukul 9 pagi hingga 5 petang, kerja biasanya bermula pada pukul 8 pagi sehingga semua selesai pada lewat malam.
Katanya bekerja hingga pukul 11 malam sudah menjadi kebiasaan.
“Sudah pukul 11 malam dan kakitangan Kementerian Kesihatan, yang dikerah dari semua kemudahan perubatan kerajaan di Kuching masih mengemas alat ujian calitan PCR positif Covid-19 yang berpotensi (berbahaya) di COSC,” tulisnya.
Katanya setelah semua pembungkusan selesai, pembersih akan masuk, dengan mengenakan pakaian pelindung diri (PPE) mereka, untuk membersihkan tempat itu, mensanitasi untuk kegunaan esok hari.
Juruteknik di makmal hospital umum Sarawak (SGH) dan hospital jantung Samarahan kemudian perlu bekerja sepanjang malam untuk mendapatkan hasil calitan PCR.
Ini bagi memastikan kes positif diasingkan, dikuarantin atau dimasukkan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) atau SGH agar mereka selamat dari ancaman Covid-19, tulisnya.
Sim turut berkata beliau “sabar menunggu” laporan hari ini mengenai semua aktiviti di COSC.
Katanya salah satu masalah utamanya ialah kesejahteraan pekerja kesihatan yang ditempatkan di sana.
Mengakui mereka berkerja lebih waktu dan tenaga, beliau mengatakan adalah tugasnya meredakan dan dalam masa sama memberi fokus kepada “isu-isu yang timbul sehingga kita dapat beroperasi dengan lancar besok”.
Semalam Kuching melaporkan 86 kes positif, menurut angka harian dikeluarkan oleh jawatankuasa pengurusan bencana negeri.
Terdapat 608 kes baharu di negeri ini dengan 442 kes atau 72.7%, dari daerah Sibu, Miri, Kapit, Bintulu dan Kuching.
Jawatankuasa bencana juga menyatakan, daripada 608 kes, hanya 86 orang menunjukkan gejala jangkitan bahaya ketika mereka mendapatkan rawatan perubatan. – 21 Mei, 2021.
Komen