MAHKAMAH di India pada Jumaat membebaskan bekas editor sebuah majalah berita terkemuka dituduh merogol seorang rakan wanita tujuh tahun lalu dalam kes berprofil tinggi yang menjadi tajuk utama di seluruh negara.
Tarun Tejpal dibebaskan dari tuduhan rogol, gangguan seksual, kata pendakwa raya Francisco Tavora di sebuah negeri di Goa.
“Sangat terkilan. Negara akan melawan keputusan itu,” kata Tavora kepada AFP dalam pesanan teks.
Tejpal, pengasas dan bekas editor majalah Tehelka, 58 tahun, dituduh merogol seorang wartawan wanita di lif hotel lima bintang di Goa pada November 2013.
Dia diberikan ikat jamin pada 2014.
Kes itu terjadi ketika India giat mengekang serangan seksual susulan pemerkosaan ganas seorang pelajar New Delhi pada Disember 2012 yang mencetuskan tunjuk perasaan meluas dan mengakibatkan undang-undang anti-rogol diperketatkan.
Majalah Tehelka telah melaporkan secara tegas mengenai ketidaksamaan gender di negara itu, menyoroti betapa tidak sensitifnya polis dan kehakiman terhadap mangsa rogol selain sikap misoginistik kebanyakan lelaki di India.
Penyokong hak wanita menentang keputusan mahkamah itu, dengan aktivis Kavita Krishnan menyebutnya sebagai sangat malang.
“Ini adalah kes di mana terdapat banyak bukti dan tindakan berani pihak pengadu yang tidak sempat memberitahu orang ramai tentang apa yang terjadi,” kata Krishnan kepada AFP.
“Saya sedar betapa berat sebelahnya perbicaraan itu buat pengadu. Keseluruhan proses perbicaraan itu seperti menyembunyikan kesengsaraannya dan membuka peluang untuk dia dikecam,” tambahnya.
Tejpal, yang secara konsisten membantah tuduhan itu, menyambut baik keputusan itu, dan menyifatkannya sebagai “perjuangan panjang untuk balas dendam” dalam satu kenyataan dibacakan oleh anak perempuannya Cara di luar mahkamah di Goa.
Mangsa, yang sejak itu letak jawatan dari majalah itu, tidak dapat disebutkan namanya atas faktor undang-undang. – AFP, 21 Mei, 2021.
Komen