Jadikan kedai buku perkhidmatan perlu, kata Perbadanan Kota Buku


Kedai buku harus dimasukkan dalam senarai perkhidmatan perlu ketika PKP, kata Perbadanan Kota Buku. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Mei, 2021.

KEDAI buku harus dimasukkan dalam senarai perkhidmatan perlu, kata ketua pegawai eksekutif Perbadanan Kota Buku Mutalib Uthman, ketika Putrajaya dilapor sedang menimbang kemungkinan akan melaksanakan perintah kawalan pergerakan (PKP) sepenuhnya di tengah jangkitan Covid-19 yang semakin meningkat.

Mutalib berkata kedai buku tidak termasuk dalam senarai perkhidmatan perlu, berdasarkan senarai terbaharu prosedur operasi standard (SOP) PKP diperketatkan yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) semalam.

“Pada masa ini, kedai buku tidak termasuk dalam senarai perkhidmatan perlu. Tidak semua orang mempunyai kemudahan untuk membeli barangan secara dalam talian.

“Perbadanan Kota Buku menggesa supaya kedai buku dibenarkan untuk beroperasi dengan menyenaraikanya sebagai sebahagian daripada perkhidmatan perlu,” katanya dalam satu kenyataan.

Mutalib berkata pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) semasa PKP bukan hanya melibatkan kelas dalam talian semata-mata tetapi juga memerlukan buku rujukan tambahan, serta pelbagai peralatan seperti kertas, pen, dan dakwat pencetak.

“Langkah ini dapat membantu pelajar dan pendidik dalam melaksanakan PdPR di samping menggerakkan ekonomi dalam industri buku,” tambahnya.

SOP yang dikeluarkan MKN bagi kawasan yang diletakkan di bawah PKP diperketatkan (PKPD) semalam tidak menyenaraikan kedai buku sebagai antara perkhidmatan perlu yang dibenarkan beroperasi.

Antara perkhidmatan perlu yang dibenarkan di kawasan PKPD termasuk bank dan kewangan, air, elektrik dan tenaga, pos dan kurier, serta kesihatan, dan penyediaan makanan,

Perkhidmatan veterinar dan makanan haiwan juga disenaraikan sebagai perkhidmatan perlu.

Semalam MKN memperketatkan PKP di beberapa daerah di Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak, Sabah dan Sarawak bermula 22 Mei hingga 4 Jun. – 21 Mei, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen