PELAKSANAAN perintah kawalan pergerakan (PKP) lebih ketat bagi membendung kes Covid-19 akan memberi kesan negatif kepada sektor ekonomi dengan implikasi yang merosakkan perniagaan dan ekonomi negara, kata dua pakar ekonomi.
Mereka berkata banyak syarikat tidak akan dapat menerima kesan sekali lagi penutupan perniagaan, dan ini akan mengakibatkan kehilangan pekerjaan.
Mereka juga berkata Putrajaya perlu belajar daripada dua PKP yang lalu bagi menghasilkan strategi penyelesaian lebih baik.
Pengarah Eksekutif Penyelidikan Sosio-Ekonomi Lee Heng Guie berkata penguatkuasaan lebih ketat akan terus menekan perniagaan yang berada di ambang pemulihan.
“Akan ada kesan pada ekonomi jika perintah sekatan seperti PKP 1.0 atau lebih ketat dikenakan.
“Sektor yang masih beransur-ansur pulih akibat kerugian akan menerima satu lagi tamparan,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Beliau berkata beberapa perniagaan terpaksa gulung tikar jika PKP lebih ketat dikenakan kerana beliau mendakwa mereka tidak mempunyai simpanan untuk meneruskannya.
Lee berkata, jika kerajaan masih memutuskan untuk melaksanakan PKP lebih ketat, ia perlu memberikan bantuan dan sokongan kewangan kepada perniagaan untuk memastikan mereka mengharungi saat sukar.
Kerajaan akan mengadakan mesyuarat hari ini untuk membincangkan kemungkinan PKP lebih ketat ketika negara menyaksikan lonjakan kes dan kematian Covid-19.
Negara mencatatkan jumlah tertinggi bagi kes harian semalam sebanyak 6,806, menjadikan jumlah keseluruhan 492,302. Rekod baru 59 kematian Covid-19 juga turut dicatatkan semalam, menjadikan jumlah kematian kepada 2,099.
Hospital kerajaan juga kehabisan katil di ICU dengan hospital swasta diarahkan menambah bilangan katil. – 21 Mei, 2021.
Berita penuh di sini
Komen