Bangladesh laksana sekatan di kem pelarian Rohingya


Bangladesh melarang perhimpunan dan pergerakan antara kem, yang menempatkan lebih 100,000 pelarian Rohingya. – Gambar EPA, 21 Mei, 2021.

PIHAK berkuasa Bangladesh pada Khamis melaksanakan sekatan pergerakan di lima kem pelarian Rohingya di tenggara negara itu selepas lonjakan kes koronavirus dalam beberapa hari terakhir, kata pegawai.

Sekatan itu melarang perhimpunan dan pergerakan antara kem, yang menempatkan lebih 100,000 pelarian Rohingya, kata wakil suruhanjaya pelarian Bangladesh, Shamsud Douza kepada AFP.

“Kami mengenakan sekatan mulai hari ini selepas lonjakan mendadak dalam kes koronavirus di lima kem tersebut,” katanya, sambil menambah pada Rabu terdapat rekod bagi kes harian.

Pihak berkuasa Bangladesh  mendirikan 34 kem di daerah tenggara Cox’s Bazar untuk hampir 900,000 pelarian Rohingya, yang melarikan diri daripada penganiayaan dan keganasan di Myanmar.

Mereka termasuk kira-kira 740,000 pelarian Rohingya yang melarikan diri daripada serangan maut tentera Myanmar pada Ogos 2017.

Douza berkata pekerja bantuan turut disekat dengan membenarkan jumlah minimum pekerja dalam bidang kesihatan, makanan dan pengedaran gas untuk masuk.

Pada Rabu sahaja, 45 pelarian Rohingya didapati positif virus daripada 247 yang menjalani ujian, kata penyelaras kesihatan tempatan Toha Bhuiyan. Angka yang sama juga diperoleh pada Khamis.

“Semua lima kem ditutup sepenuhnya,” katanya kepada AFP.

“Angka jangkitan amat membimbangkan,” kata Anupom Barua, Pengetua Cox’s Bazar Medical College, kepada AFP. Barua memantau keadaan koronavirus di kem sejak tahun lalu.

Sejak virus dikesan tahun lalu di kem, pihak berkuasa Bangladesh dengan ketat mengawal kemasukan pengunjung ke kawasan itu, ketika kebimbangan Covid-19 memburukkan lagi kawasan penempatan yang sudah sedia padat dan sesak.

Sekatan tersebut membantu mengurangkan kes dan kematian.

Seorang pekerja bantuan antarabangsa memberitahu AFP, pihak berkuasa menggunakan pembesar suara untuk memberi amaran kepada pelarian di kem mengenai sekatan tersebut.

Pekerja itu berkata jumlah kes juga meningkat di kalangan penduduk Bangladesh di Teknaf, mendorong pihak berkuasa menutup bandar sempadan paling selatan itu.

Seorang pegawai kanan polis memberitahu AFP, pihak berkuasa meningkatkan keselamatan dan mendirikan pos pemeriksaan di penempatan tersebut.

Bangladesh melancarkan program vaksinasi Covid-19 pada Februari dan kira-kira 6 juta orang sudah mendapat satu atau dua dos, tetapi kempen itu belum sampai kepada pelarian Rohingya. – AFP, 21 Mei, 2021


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen