Pesakit Covid-19 tiada harapan sembuh tidak lagi dihantar ke ICU di Kedah, lapor media


Katil terhad memaksa pihak berkuasa kesihatan membuat pertimbangan hidup mati ke atas pesakit Covid-19, kata exco kesihatan Kedah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Mei, 2021.

PIHAK berkuasa kesihatan di Kedah kini akan membuat pertimbangan hidup mati ke atas pesakit Covid-19 yang dianggap tiada harapan untuk sembuh selepas jumlah katil di unit rawatan rapi di hospital di negeri itu kini sangat terhad, lapor media.

Exco kesihatan Kedah Dr Mohd Noor Hayati Othman dipetik berkata pesakit Covid-19 yang kronik tidak lagi akan dipindahkan ke ICU, lapor BH dan Harian Metro.

Beliau menjelaskan walaupun jumlah katil di ICU masih cukup, pihaknya bimbang kemudahan yang ada tidak dapat digunakan oleh pesakit kritikal lain.

“Saya serba salah hendak maklum atau tidak keadaan ini, tetapi perlu beritahu juga. Dalam sesetengah kes doktor terpaksa pilih yang mana perlu hantar ke ICU, sekiranya pesakit terlalu kronik dan tidak mempunyai harapan, kita tidak masukkan dia lagi ke ICU.

“Ini termasuk pesakit bukan kes Covid-19, doktor akan membuat penelitian cukup berat bagi setengah kes. Bagaimanapun, kita sebolehnya akan merawat semua pesakit sehingga sembuh dan stabil,” katanya, seperti dipetik dua portal berita itu.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata penggunaan katil ICU untuk pesakit Covid-19 di banyak hospital di seluruh negara kini sudah melebihi 70 peratus, termasuk di Kedah yang sudah lebih 80 peratus.

Media sementara itu melaporkan penggunaan wad ICU di hospital di Kedah sudah mencapai 92 peratus.

Kedah mencatatkan 3,400 kes baharu Covid-19 dalam masa dua minggu yang lalu, dengan kes tertinggi harian sebanyak 445 seperti yang direkod setakat tengah hari semalam (Rabu, 19 Mei).

Setakat tengah hari ini, Kedah mengesan 417 lagi kes baharu.

“Kita perlu ingat hospital bukan sahaja untuk merawat pesakit Covid-19, tetapi ada pesakit kencing manis dan lain-lain yang perlu rawatan dan pembedahan, selepas dibedah mereka perlu dirawat di ICU terlebih dahulu.

“Kita tidak mahu katil ICU penuh, jadi orang ramai perlu patuh SOP. Jangan bersalaman dan bersembang dekat, saya tahu kita masih dalam suasana Aidilfitri, tetapi perlu berpada-pada,” katanya.

Laporan sama memetik Pengarah Jabatan Kesihatan Kedah, Dr Mohd Fikri Ujang berkata, sehingga kini 44 pesakit Covid-19 masih dirawat di ICU dengan 20 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Mereka dirawat di Hospital Sultan Abdul Halim Sungai Petani, Hospital Sultanah Bahiyah dan Hospital Sultanah Bahiyah 2 di Alor Setar.

Tiga daripada mereka berumur tidak lebih 50 tahun sementara baki 41 orang berumur lebih 50 tahun. – 20 Mei, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen