Orang Asli di Gua Musang setuju pindah ke penempatan baharu


Alfian Z.M. Tahir

Orang Asli di Gua Musang yang tinggal berhampiran Empangan Neggiri di Kelantan bersetuju berpindah ke penempatan baharu selepas berbincang dengan TNB. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Mei, 2021. 

ORANG Asli di Gua Musang yang tinggal berhampiran Empangan Neggiri di Kelantan bersetuju untuk berpindah ke penempatan baharu susulan perbincangan dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB), kata Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam).

Pesuruhjaya Suhakam, Jerald Joseph berkata TNB sudah memberikan penjelasan penuh mengenai projek itu kepada Orang Asli pada pertemuan mereka dengan komuniti berkenaan.

Jerald bagaimanapun berkata Orang Asli meminta Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA), Penilaian Impak Warisan (HIA) dan Penilaian Impak Sosial (SIA) dari TNB. 

“Wakil Orang Asli berkata mereka tidak menentang pembangunan tetapi prihatin dengan kehidupan mereka, terutama kampung dan tempat beribadat,” katanya.

Joseph berkata mereka juga tidak menerima laporan EIA atau HIA tetapi menambah bahawa syarikat tenaga nasional bersetuju untuk memberikannya.

TNB sudah memberikan kerjasama sepenuhnya dan sangat terbuka semasa perbincangan, kata Joseph.

“Ketua kampung (Tok Batin) dan juga penduduk kampung bersetuju untuk berpindah dan setuju dengan syarat ditetapkan oleh TNB. TNB juga akan menyediakan kemudahan asas dan pampasan,” katanya.

Kontroversi di sekitar Empangan Nenggiri bermula pada 2015 apabila ketua pemuda jawatankuasa Orang Asli Kelantan, Dendi Johari berkata rancangan tebatan banjir akan memusnahkan kampung Orang Asli.

Beliau berkata projek itu akan memusnahkan rumah, kubur, hutan yang merupakan sumber mata pencarian mereka sambil menambah bahawa mereka tidak diberikan penjelasan mengenai projek itu.

Pada Ogos 2020, Timbalan Menteri Besar Kelantan Mohd Amar Nik Abdullah berkata, kerja-kerja awal pembinaan empangan dijadualkan bermula pada Mac 2022. Beliau berkata ini termasuk penempatan semula tiga kampung Orang Asli. – 20 Mei, 2021. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen