PIHAK berkuasa tidak melakukan sebarang inkues untuk sebahagian besar kematian yang berlaku sejak 2020, kata Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam).
Pesuruhjaya Suhakam Jerald Joseph berkata suruhanjaya itu sudah meneliti 12 kes kematian dalam tahanan pada 2020 dan enam setakat tahun ini.
Beliau menambah bahawa sebahagian besar kematian dalam tahanan terjadi akibat komplikasi kesihatan.
“Pada 2020, kami menyiasat 12 kes di mana enam di penjara, empat di lokap polis dan dua di pusat tahanan imigresen.
“Tahun ini, enam kes ditemui – masing-masing tiga di penjara dan lokap.
“Suhakam mendapati belum ada inkues dilakukan untuk sebahagian besar kes,” katanya dalam sidang media maya.
“Dari siasatan untuk kes-kes pada 2020, kami mendapati kebanyakan kes itu disebabkan oleh masalah kesihatan,” katanya.
Jerald juga menjelaskan bahawa walaupun pihak berkuasa sudah melakukan pemeriksaan kesihatan sebelum seseorang itu dimasukkan ke dalam lokap, beberapa penambahbaikan perlu dibuat.
“Kita sudah memberikan beberapa saranan kepada polis agar kematian dalam tahanan tidak lagi berulang. Sebagai contoh, setiap suspek harus menjalani pemeriksaan kesihatan sebelum dimasukkan ke dalam lokap.
“Sekiranya suspek didapati tidak sesuai untuk ditahan, dia mesti dibebaskan dengan jaminan polis.
“Setakat ini, tidak ada pegawai kesihatan di lokap polis. Pada masa ini, suspek perlu mengisi borang di balai polis untuk menjawab mengenai keadaan kesihatannya,” katanya. – 20 Mei, 2021.
Berita penuh di sini.
Komen