Ke mana dibelanjakan RM600 bilion peruntukan untuk pandemik, soal Dr Mahathir


Putrajaya perlu melaksanakan perintah berkurung sepenuhnya dan menanggung segala kosnya jika ia dikuatkuasakan, kata Dr Mahathir Mohamad. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Mei, 2021.

DR Mahathir Mohamad mahu Putrajaya beri penjelasan mengapa ia terpaksa bergelut untuk membendung pandemik Covid-19 sedangkan sudah memperuntukkan RM600 bilion bagi melawan virus itu.

Bekas perdana menteri itu berkata jika benar kerajaan membelanjakan jumlah itu bagi membendung pandemik, maka rakyat patut tahu ke mana ia digunakan dan bagaimana ia dibelanjakan dalam tempoh sesingkat ini.

“Putrajaya mendakwa ia membayar lebih RM600 bilion untuk melawan pandemik. Jika demikian, kita sepatutnya ada kapasiti mengendalikan pandemik ini.

“Tetapi nampaknya kita tidak ada kapasiti. Kita perlu tahu kenapa. RM600 bilion itu banyak. Bukan mudah untuk membelanjakannya dalam tempoh singkat,” katanya di blognya hari ini.

Beliau turut mengkritik kerajaan kerana terlebih yakin selepas dapat mengatasi gelombang pertama Covid-19 tahun lalu, terutama ketika perintah kawalan pergerakan pertama.

Dr Mahathir berkata kerajaan jadi longgar dengan peraturan untuk kekal popular di mata rakyat, memetik kebenaran yang diberikan untuk bazar Ramadan beroperasi baru-baru ini.

Beliau turut  menggesa kerajaan melaksanakan perintah berkurung sepenuhnya dan menanggung segala kosnya jika ia dikuatkuasakan.

“Perintah berkurung yang perlu dikuatkuasakan bermakna ramai yang akan hilang pendapatan. Tetapi perintah itu mungkin satu-satunya cara untuk mencegah lebih ramai terdedah kepada virus itu dan jangkitan. Jangkitan mungkin bermakna kematian.

“Apa pun punca lonjakan jangkitan, keperluan segera ialah mengurangkan jumlah kes baharu. Kita akan kekurangan katil, peralatan dan mungkin juga bekalan oksigen jika jumlah kes berganda,” katanya.

Beliau berkata sudah tiba masanya untuk dikuatkuasakan semula perintah sekatan pergerakan selama sebulan dengan langkah sekatan lebih ketat.

“Kita perlu pastikan rakyat duduk di rumah. Tidak boleh ada apa juga sebab untuk orang ramai berkumpul. Penjarakan perlu dilakukan walaupun dalam kalangan petugas barisan hadapan.

“Mengurung rakyat di rumah bermakna mereka tidak aka nada wang dan makanan,” katanya.

Oleh itu katanya, Putrajaya perlu memegang tanggungjawab terhadap rakyat.

“Perlu ada dapur awam di mana makanan disediakan, dibungkus dan dihantar ke rumah.

“Individu yang kena kuarantin tidak boleh keluar rumah mengambil makanan. Ia akan menyebabkan orang ramai berkumpur. Perlu ada perkhidmatan hantar ke rumah. Tidak boleh ada kontak antara penghantar dan penghuni rumah,” katanya. – 20 Mei, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen