AHLI Parlimen Bangi Ong Kian Ming menggesa Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengadakan sidang media bersama dengan beberapa menteri utama sekiranya Putrajaya mahu mengumumkan perintah kawalan pergerakan yang lebih ketat dalam waktu terdekat ini.
Sidang media bersama itu akan membantu kerajaan mengelak pengumuman prosedur operasi standard (SOP) yang berubah-ubah, seperti yang berlaku sebelum ini.
“Elakkan sidang media seorang seperti sebelum ini yang kemudiannya disusuli dengan keputusan yang berubah kerana seorang menteri tidak berkomunikasi dengan yang lain,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ong mencadangkan antara menteri yang perlu ada dalam sidang media bersama ialah Menteri Kewangan, Menteri Kesihatan, Menteri Pertahanan, Menteri Dalam Negeri, Menteri Sumber Manusia, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, serta menteri penyelaras program vaksinasi negara.
Semalam, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata pihaknya tidak menolak sekiranya Putrajaya mahu mengenakan PKP menyeluruh selepas kes harian Covid-19 meningkat dengan mendadak.
Langkah memperketatkan PKP bagaimanapun perlu diikuti dengan beberapa langkah susulan bagi memastikan kesejahteraan dan ekonomi rakyat tidak terjejas, katanya.
Malaysia semalam mencatatkan 6,075 kes baharu dengan lebih dua pertiga dikesan di Selangor, ketika negeri itu menjalankan ujian saringan besar-besaran secara percuma ke atas penduduknya.
Menteri Kesihatan Dr Adham Baba awal minggu ini memberi amaran PKP menyeluruh di Selangor sekiranya angka jangkitan Covid-19 di negeri itu tidak terkawal. – 20 Mei, 2021.
Komen