Neelofa, suami akan didakwa tidak imbas MySejahtera di Nilai, kata polis


Pada hujung April lalu juga, selebriti Noor Neelofa Mohd Noor dan suaminya Muhammad Haris Mohd Ismail disiasat kerana melanggar SOP pencegahan Covid-19 semasa majlis perkahwinan mereka dan seterusnya merentas negeri ke Langkawi, Kedah. – Gambar Instagram, 20 Mei, 2021.

SELEBRITI Noor Neelofa Mohd Noor dan suami Muhammad Haris Mohd Ismail akan didakwa di Mahkamah Majistret Seremban hari ini atas tuduhan tidak membuat imbasan aplikasi MySejahtera atau menulis secara manual untuk daftar masuk ke sebuah premis di Nilai, kata polis.

Muhammad Haris juga berdepan satu pertuduhan tambahan tidak memakai pelitup muka di tempat awam seperti ditetapkan dalam SOP perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB), kata Ketua Polis Nilai Mohd Fazley Ab Rahman.

Setiap satu pertuduhan membawa hukuman denda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih enam bulan, atau kedua-duanya.

Menurut Fazley, pihak polis sudah menerima semula kertas siasatan melibatkan pasangan berkenaan daripada Pejabat Peguam Negara dengan keputusan mereka akan dituduh atas kesalahan-kesalahan tersebut.

“Mereka akan didakwa mengikut Peraturan 19, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Kawalan Pergerakan Bersyarat) (No.4) (Pindaan) (No.12) 2021,” katanya dalam satu kenyataan.

Kenyataan itu bagaimanapun tidak menyebut mengenai kesalahan rentas negeri, yang heboh selepas tular gambar dan video pasangan itu berada di sebuah kedai karpet di Pusat Perniagaan Nilai 3 pada 2 Mei lalu.

Fazley sebelum ini mengesahkan Neelofa dan suami disiasat selepas gambar dan video mereka itu tular.

Mereka hadir di Ibu Pejabat Polis Nilai pada 4 Mei untuk memberi keterangan selama kira-kira empat jam.

Pasangan itu disiasat berhubung gambar dan video yang tular menunjukkan mereka berada di sebuah kedai karpet di Pusat Perniagaan Nilai 3, Nilai pada awal bulan ini

Polis juga dilaporkan mengambil keterangan pemilik dan pekerja kedai karpet berkenaan.

Mereka ketika itu disiasat tiga minggu selepas meminta maaf kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) pencegahan Covid-19 semasa majlis perkahwinan dan seterusnya merentas negeri ke Langkawi, Kedah.

Neelofa dan Muhammad Harris masing-masing dikenakan kompaun RM20,000 dan RM10,000 sementara 20 ahli keluarga dikenakan kompaun RM1,500 setiap seorang. – 20 Mei, 2021.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen