Harussani positif Covid-19, lapor media


Mufti Perak Dr Harussani Zakaria kini menjalani rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh.– Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Mei, 2021.

MUFTI Perak Dr Harussani Zakaria dan empat kakitangan Jabatan Mufti Perak disahkan positif Covid-19, lapor Bernama memetik Timbalan Mufti Perak Zamri Hashim.

Zamri meminta agar semua pihak mendoakan kesembuhan Harussani, 82, yang kini menjalani rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh, lapor BH.

“Tan Sri (Harussani) masih menerima rawatan di HRPB. Mohon doa dari semua.

“Saya hanya boleh sahkan beliau masih dirawat di HRPB. Berkenaan (dakwaan) beliau memerlukan bantuan oksigen dan sebagainya, itu perlu dirujuk kepada ahli keluarganya,” katanya, seperti dipetik BH.

Zamri mengulas mesej yang tersebar melalui WhatsApp yang mengatakan Harussani disahkan positif Covid-19 sejak 11 Mei lalu dan memerlukan bantuan oksigen untuk bernafas namun dalam keadaan masih sedar.

Pada 12 Mei, Adun Titi Serong Hasnul Zulkarnain Abd Munaim menulis di Facebook mengenai keadaan kesihatan Harussani dan isteri yang positif Covid-19.

“Sama-sama kita berdoa agar Allah pelihara kedua-dua insan yang kita kasihi ini,” tulisnya.

Sehari selepas itu, Pengarah Jabatan Agama Islam Perak Mohd Yusof Husin dalam satu pekeliling menyeru semua masjid dan surau di negeri itu agar mengadakan solat hajat dan bacaan qunut nazilah pada setiap kali solat Jumaat dan solat fardu memohon dijauhkan musibah wabak Covid-19 daripada terus merebak khususnya di Perak.

Beliau juga memohon semua masjid dan surau mendoakan kesejahteraan dan kesembuhan kepada Harussani dan isteri.

Harussani menjadi mufti Perak sejak 1985.

Pada Ogos tahun lalu, beliau dimasukkan ke sebuah hospital swasta di Ipoh setelah diserang angin ahmar. – 19 Mei, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen