Dzulkefly gesa pertimbangan teliti sebelum laksana sekatan penuh di Selangor


Raevathi Supramaniam

Dr Dzulkefly Ahmad berkata walaupun Selangor secara konsisten mencatatkan jumlah jangkitan harian tertinggi, Rt masih rendah berbanding negeri lain. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Mei, 2021.

KETUA Pasukan Petugas Menangani Covid-19 Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad mendesak Putrajaya mempertimbangkan dengan teliti sebarang keputusan melaksanakan sekatan pergerakan penuh di negeri ini sekiranya jumlah kes Covid-19 tidak dapat dikawal.

“Jangan membuat sekatan pergerakan sebagai jalan mudah kerana kegagalan anda menangani wabak Covid-19,” katanya dalam sidang media Covid-19 hari ini.

Katanya, walaupun Selangor secara konsisten mencatatkan jumlah jangkitan harian tertinggi, kadar kebolehjangkitan (Rt) di negeri ini masih rendah berbanding negeri lain.

“Jika kita perhatikan kadar kebolehjangkitan, Selangor bukan yang tertinggi. Jika dibandingkan dengan Kedah, Pahang dan Terengganu yang mencatatkan kadar kebolehjangkitan lebih 1.20, kadar kebolehjangkitan Selangor pada masa ini adalah 1.16.

“Dari segi jumlah kematian, Selangor berada di kedudukan keempat di negara ini. Jka kita perlu melaksanakan sekatan pergerakan penuh berdasarkan jumlahnya, kita harap kerajaan akan mempertimbangkannya semula,” katanya.

Kadar kebolehjangkitan negara pada masa ini berada pada tahap 1.08. Semalam, Malaysia melaporkan 4,446 jangkitan baru dengan Selangor menyumbang 1,650 jangkitan.

Sementara itu Exco Kesihatan Awam, Perpaduan, Pembangunan Wanita dan Keluarga Selangor Dr Siti Mariah Mahmud berkata sekiranya diberi pilihan, pihaknya enggan sekatan penuh dilaksanakan. 

“Kami tidak mahu sekatan penuh. Namun jika diarahkan, kami tiada pilihan,” katanya. 

Sebaliknya katanya, negeri itu masih boleh melaksanakan sekatan pergerakan bersasar seperti perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD). 

“Kita boleh melaksanakan PKPD di kawasan yang mempunyai kluster, namun kita perlukan langkah lain seperti vaksin dan ujian saringan besar-besaran. Jika tidak selepas PKPD tamat, ia mungkin akan berlaku lagi.

“Kesilapan yang kita buat ketika perintah kawalan pergerakan pertama pada Mac tahun lalu adalah kita tidak mendidik masyarakat,” katanya. 

Dr Siti Mariah dan Dr Dzulkefly berkata sekatan penuh akan merugikan rakyat Selangor, terutamanya pekerja sendiri dan perniagaan. 

Mereka turut menggesa Putrajaya untuk mempertimbangkan beberapa dasar yang dilaksanakan seperti pelaksanaan ujian saringan untuk pengesanan dan pengasingan.– 19 Mei, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen