Pegawai kementerian catur pelantikan ketua pengarah Jakoa, kata ahli Parlimen


Ravin Palanisamy

Ahli Parlimen Cameron Highlands Ramli Mohd Nor membantah pelantikan ketua pengarah Jakoa dari bukan keturunan Orang Asli.– Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Mei, 2021.

KERAJAAN tidak boleh melantik calon bukan dari keturunan Orang Asli bagi mengisi jawatan ketua pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa), kata Ramli Mohd Nor.

Ahli Parlimen Cameron Highlands berkata jawatan itu pada dasarnya akan diberi keutamaan untuk disandang oleh seorang rakyat Malaysia berketurunan Orang Asli Semenanjung Malaysia yang berkelayakan.

Beliau bagaimanapun mendakwa terdapat gerakan dalam kerajaan yang berusaha agar jawatan itu tidak disandang oleh rakyat Malaysia berketurunan Orang Asli.

“Telah sampai maklumat ke pengetahuan saya bahawa ada gerakan oleh para pegawai dalam Kementerian Pembangunan Luar Bandar sedang mencatur dan berusaha agar jawatan tersebut tidak disandang oleh rakyat Malaysia berketurunan Orang Asli Semenanjung.

“Saya sebagai wakil rakyat tunggal berketurunan Orang Asli Semenanjung Malaysia di Parlimen Malaysia yang dilantik oleh suara rakyat selepas 64 tahun Malaysia merdeka mengutuk dan menentang sama sekali usaha dan gerakan ‘Little Napolean’ birokrasi kerajaan di dalam Kementerian Pembangunan Luar Bandar ini,” kata ahli Parlimen Barisan Nasional itu. 

Jawatan ketua pengarah Jakoa kosong selepas kontrak Prof Dr Juli Edo tamat bulan lalu.

Ramli berkata Perlembagaan Persekutuan menyatakan kuota di dalam perkhidmatan awam Malaysia wajib diberi kepada masyarakat Orang Asli Malaysia yang berkelayakan termasuk jawatan ketua pengarah Jakoa. 

Tambah Ramli kerajaan Perikatan Nasional bukan sahaja perlu bersikap adil dan saksama dalam perlantikan ketua pengarah Jakoa, bahkan juga prihatin terutama dalam menyelesaikan isu pembangunan masyarakat Orang Asli yang masih tertunggak dan ketinggalan jauh dalam perlaksanaan. 

“Isu-isu teras seperti pembangunan sosio-ekonomi, pendidikan, kesihatan, pewartaan tanah Orang Asli/tanah adat dan kebajikan am untuk masyarakat Orang Asli masih lagi ketinggalan jauh berbanding masyarakat majmuk Malaysia,” katanya.

Semalam Menteri Pembangunan Luar Bandar Abdul Latiff Ahmad menerusi Twitter berkata beliau membincangkan dengan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berhubung pengganti jawatan berkenaan. 

Abdul Latiff berkata sejak 2017, Jakoa telah diterajui oleh wakil dari masyarakat Orang Asli yang memegang jawatan ketua pengarah. 

Beliau berkata Jakoa perlu diterajui oleh seorang ketua pengarah yang berpengalaman dan mahir untuk memacu masa depan masyarakat Orang Asli ke arah lebih membangun dan maju. – 19 Mei, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen