DBKL patut beli vaksin sendiri untuk penduduk KL, kata ahli Parlimen Kepong


Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin berkata kerajaan negeri dibenarkan mendapatkan bekalan vaksin mereka sendiri dengan syarat memperoleh kelulusan daripada NPRA. – Gambar EPA, 19 Mei, 2021.

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) patut membeli sendiri vaksin Covid-19 supaya barisan hadapan dan penduduk bandar divaksinasi segera untuk melawan virus ini, kata ahli Parlimen Kepong hari ini.

Lim Lip Eng berkata Kuala Lumpur perlu mencontohi negeri lain yang membeli vaksin mereka sendiri tanpa menunggu pelancaran program imunisasi kebangsaan.

Beliau berkata wang tidak menjadi masalah bagi DBKL kerana “faedah bank diperoleh daripada berbilion ringgit dalam akaun bank simpanan tetap”.

“Saya menggesa Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa mendapatkan persetujuan kerajaan persekutuan…untuk membeli vaksin Covid-19 bagi hampir 2 juta penduduknya di ibu negara, khasnya, barisan hadapan yang bekerja sepanjang masa seperti jururawat dan polis.

“Tiada sebab mengapa Annuar tidak mahu mencontohi Sarawak dan Selangor untuk menyelamatkan nyawa penduduk Kuala Lumpur daripada koronavirus, tambahan pula duit tidak menjadi masalah kepada DBKL,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dilaporkan Sarawak akan menerima 500,000 dos vaksin Covid-19 Sinovac yang dibeli secara langsung melalui inisiatif kerajaan negeri.

Selangor juga mengikutinya, dan memberi kebenaran kepada majikan di negeri itu untuk membeli vaksin Covid-19 untuk pekerja mereka dari negeri itu.

Semalam Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin berkata kerajaan negeri dibenarkan mendapat bekalan vaksin mereka sendiri dengan syarat memperoleh kelulusan daripada Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA). – 19 Mei, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen