KADAR penggunaan katil rawatan kritikal (ICU) untuk pesakit Covid-19 di banyak hospital di seluruh negara kini sudah melebihi 70%, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham.
Setakat semalam kadar penggunaan katil ICU Covid-19 di seluruh negara mencecah 74%, katanya.
Penggunaan yang tinggi ini menyebabkan pesakit bukan Covid-19 kurang peluang untuk menggunakan kemudahan tersebut sekiranya perlu, tambah Noor Hisham.
“Hospital Covid-19 telah meningkatkan jumlah katil ICU yang diperuntukkan untuk pesakit Covid-19 dengan mengubah fungsi (repurpose) wad biasa.
“Bagaimanapun, ini juga mengurangkan peluang pesakit bukan Covid-19 untuk mendapatkan rawatan kritikal yang diperlukan,” katanya dalam satu komen di Facebook.
Statistik Kementerian Kesihatan yang dikongsi oleh Noor Hisham juga menunjukkan penggunaan katil ICU melebihi paras 50% sejak 26 April lalu.
Beliau memperincikan kadar penggunaan katil ICU di Lembah Klang kini mencapai 89% sementara di seluruh Selangor, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Kedah, Sarawak, dan Negeri Sembilan juga melebihi 80%.
“Peningkatan kes-kes secara mendadak kebelakangan ini telah memberi tekanan hebat kepada sistem perkhidmatan kesihatan negara,” katanya.
Untuk itu, Noor Hisham menyeru rakyat untuk terus patuh arahan duduk di rumah sekiranya tiada urusan penting untuk memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.
Malaysia merekodkan kes kematian harian paling tinggi selama dua hari berturut-turut pada minggu ini, dengan 47 kematian dilaporkan semalam sementara 45 kematian sehari sebelumnya.
Setakat tengah hari semalam Kementerian Kesihatan mengesan 4,865 kes baharu Covid-19 menjadikan jumlah keseluruhan kes di Malaysia kini 479,421 kes.
Daripada jumlah itu, 531 pesakit kini dirawat di ICU. – 19 Mei, 2021.

Komen