SUDAN pada Selasa melarang kemasukan dari India dan mengenakan sekatan koronavirus baharu termasuk menutup sekolah, ketika kes koronavirus semakin melonjak.
“Kemasukan akan dihalang bagi semua pengembara yang tiba secara langsung dari India atau melalui negara lain selepas mengunjungi India dalam tempoh 14 hari terakhir,” kata dewan kerajaan negara itu dalam satu kenyataan.
Pengembara dari Mesir dan Ethiopia akan disaring semula semasa ketibaan, katanya.
India mengalami peningkatan jumlah kes Covid-19 susulan penyebaran varian yang diklasifikasikan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia sebagai “varian membimbangkan.”
Sudan mencatatkan 34,707 kes Covid-19 termasuk 1,116 kematian sehingga 16 Mei.
Pihak berkuasa bimbang jumlah kes akan melebihi 100,000 pada minggu pertama dan kedua Jun jika orang ramai gagal mengambil langkah yang diperlukan, menurut kenyataan itu.
“Jawatankuasa Kecemasan Kesihatan Tertinggi ... memerintahkan penangguhan semua universiti dan sekolah selama sebulan,” katanya.
Solat dan upacara beramai-ramai juga tidak dibenarkan.
Koronavirus memberi tekanan kepada Sudan yang sedang menuju peralihan politik yang sukar dan bergelut dengan masalah ekonomi selepas penggulingan autokrat lama Omar al-Bashir pada April 2019.
Sistem kesihatannya yang menyedihkan dilanda kekurangan ubat-ubatan dan bekalan perubatan.
Pada Mac, negara itu mula memberikan imunisasi kepada pekerja kesihatan selepas menerima vaksinasi AstraZeneca melalui inisiatif Covax yang menyediakan vaksin kepada negara miskin. – AFP, 19 Mei, 2021.
Komen