Masjid, surau di Kota Setar ditutup hingga 1 Jun, kata pegawai agama


Seorang lelaki kelihatan di dalam ruang solat utama Masjid Putra di Putrajaya ketika solat Aidilfitri baru-baru ini dengan hanya 50 orang sahaja dibenarkan kerana wabak Covid-19. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 18 Mei, 2021.

SEMUA masjid dan surau di daerah Kota Setar diarah tutup sepenuhnya kepada orang ramai sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang bermula esok hingga 1 Jun depan.

Pegawai Agama Daerah Kota Setar Syeikh Ahmad Faisol Omar berkata masjid hanya dibenarkan dibuka untuk solat fardu berjemaah melibatkan lima orang dalam kalangan pegawai masjid dan ahli jawatankuasa kariah.

Beliau berkata bagi solat Jumaat, bilangan jemaah dibenarkan hanya 12 orang melibatkan pegawai masjid dan ahli jawatankuasa kariah.

“Pada Jumaat, solat fardu zuhur hendaklah dilakukan bagi menggantikan solat Jumaat. Sebarang majlis ilmu seperti kuliah maghrib, kuliah subuh, kuliah dhuha, majlis tahlil dan doa di masjid juga tidak dibenarkan,” menurutnya dalam kenyataan di Alor Setar hari ini.

Ahmad Faisol berkata urusan akad nikah bagi pasangan yang ingin melangsungkan perkahwinan sepanjang tempoh itu turut ditangguhkan.

Beliau berkata sehingga kini, sebanyak 332 kebenaran berkahwin yang telah dikeluarkan ditangguh akad nikahnya sehingga PKPD berakhir.

“Semua bakal pengantin diminta hadir ke Pejabat Agama Daerah Kota Setar selepas PKPD berakhir bagi mendapatkan tarikh akad nikah baharu,” katanya. – Bernama, 18 Mei, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen