7 pekerja luar pesisir punca Miri daerah paling berjangkit di Sarawak


Desmond Davidson

Jangkitan tersebut kini sedang disiasat dan pengesanan kes aktif sedang dijalankan bagi mengenal pasti, menyaring dan mengkuarantin semua kontak rapat pekerja luar pesisir itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Mei, 2021.

TUJUH pekerja pelantar minyak didapati positif Covid-19 sebelum mereka kembali ke pelantar luar pesisir, antara 96 ​​kes baharu dilaporkan di Miri dalam 48 jam terakhir.

Jawatankuasa pengurusan bencana negeri Sarawak hari ini berkata tujuh orang itu yang akan mula bekerja di pelantar luar pesisir hari ini, didapati positif ketika menjalani kuarantin wajib di Pusat Transit Luar Pesisir (OTC).

Ketujuh-tujuh mereka ketika ini didapati asimptomatik.

Jangkitan tersebut kini sedang disiasat dan pengesanan kes aktif sedang dijalankan bagi mengenal pasti, menyaring dan mengkuarantin semua kontak rapat pekerja luar pesisir itu.

Sarawak mencatatkan 512 kes baharu hari ini dengan 96 di Miri menjadikan daerah itu di kedudukan teratas dalam senarai daerah terjejas di Sarawak.

Jawatankuasa bencana berkata 68.95% atau 353 kes berada di daerah paling ramai di negeri ini iaitu di Bintulu (91), Sibu (69), Kapit (51), Kuching (46), selain Miri.

Lima orang lagi juga meninggal dunia akibat jangkitan Covid-19 hari ini menjadikan jumlah kematian di negeri ini meningkat kepada 230.

Tiga daripadanya berasal dari Rajang di Kapit berusia 64 tahun dan dua orang berusia 73 tahun, sementara dua yang lain, berusia 51 tahun dan 71 tahun, kedua-duanya perempuan berasal dari Sibu.

Pihak berkuasa kesihatan berkata katil di unit rawatan rapi (ICU) di hospital-hospital khas Covid-19 di negeri ini sudah penuh, akan meningkatkan kebimbangan kerana jumlah kes baharu hari ini melebihi 409 yang didiscaj.

Jawatankuasa bencana negeri berkata kini terdapat 6,473 orang dimasukkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan atau diperintahkan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC). – 18 Mei, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen