BEKAS menteri besar Kedah Mukhriz Mahathir antara lapan orang dipanggil polis untuk disoal siasat berhubung protes di luar Parlimen bulan lalu menuntut darurat ditamatkan.
Setiausaha Agung Muda Amri Hariri Abd Hadi berkata kenyataan Mukhriz telah direkod melalui telefon, sementara yang lain akan hadir di balai polis Dang Wangi pada Khamis ini pukul 1 tengah hari.
Selain Mukhriz dan Amir, mereka yang lain adalah Ketua Pejuang Wilayah Persekutuan Khairuddin Abu Hassan, Adun Kampung Tungku Lim Yi Wei, Adun Paloh Sheik Umar Bagharib Ali, Ketua Pemuda Amanah Wilayah Persekutuan Asmaalif Abdul Adam, ahli jawatankuasa Parti Sosialis Malaysia Sharon Raj dan pengasas bersama Undi18 Tharma Pillai.
Kes disiasat di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012 kerana mengadakan perhimpunan tanpa notis.
Tunjuk perasaan itu digelar #BukaPuasaBukaParlimen, sebuah demonstrasi damai diadakan pada 30 April di hadapan pintu Parlimen dan dihadiri oleh kebanyakan orang muda yang berbuka puasa bersama memandangkan ia diadakan pada bulan Ramadan.
Acara itu dianjurkan pelbagai gerakan pemuda yang menyenaraikan enam tuntutan kepada kerajaan.
Tuntutan-tuntutan itu adalah tamatkan Darurat dan buka Parlimen semula; laksanakan Undi 18 dengan segera; kuat kuasa undang-undang yang adil dan berperikemanusiaan, memperkuat hak-hak Sabah dan Sarawak, pendidikan selamat untuk semua rakyat Malaysia dan jaminan ekonomi yang mampan untuk rakyat. – 18 Mei, 2021.
Komen