TIMBALAN Menteri Belia dan Sukan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata beliau sedia disiasat oleh polis selepas tular gambarnya didakwa makan di sebuah restoran semalam.
Wan Ahmad Fayhsal membayangkan ada salah faham berkenaan gambar yang tular itu, yang memberi gambaran beliau duduk makan di kedai kerana disebut berada hampir sejam di kedai restoran itu.
“Saya bincang isu Palestin sementara take away (bawa pulang) nasi yang sedap. Perbualan sedikit panjang.
“Kalau @PDRMsia perlu siasat, boleh hubungi pejabat saya & rekod CCTV kedai,” tulisnya di Twitter, membalas komen terhadapnya di platform media sosial itu.
Dalam satu balasan tweet yang lain, Wan Ahmad Fayhsal berkata beliau hanya berada lebih kurang 15 minit di restoran itu.
Ketua Pemuda Bersatu juga mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membangkitkan perkara itu.
“Harap kita dapat teruskan pematuhan SOP (mencegah penularan Covid-19),” tambahnya.
Awal hari ini, seorang pengguna Twitter atas nama @HermyRahim berkongsi foto Wan Ahmad Fayhsal yang dimuat naik oleh pemilik kedai makan Don’s Warong sendiri iaitu Megat D Shahriman Zaharudin sendiri di Instagram.

“Tadi menyantuni Timbalan Menteri Belia dan Sukan, YB Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang datang mencuba hidangan makanan di restoran saya Don’s Warong.
“Sepanjang perbualan kira-kira satu jam itu kami banyak berbicara mengenai kemelut tragis di Palestin,” tulis ahli perniagaan itu.
Wan Ahmad Fahysal juga berkongsi foto sama melalui Instastory, yang hanya dipaparkan untuk tempoh 24 jam. – 18 Mei, 2021.
Komen