Jangan bezakan negeri kerana politik, gesa ahli Parlimen pada KKM


Ahli Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim berkata KKM patut beri kebenaran kepada Pulau Pinang dapatkan sendiri bekalan vaksin Covid-19 untuk rakyat negeri itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Mei, 2021.

PULAU PINANG wajar diberi kebenaran oleh Kementerian Kesihatan (KKM) mendapatkan sendiri bekalan vaksin Covid-19 untuk rakyat negeri, sama seperti Sarawak, kata Ahli Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim.

Beliau mempersoalkan apakah KKM main politik apabila memberi kebenaran kepada Sarawak tetapi tidak melayan permintaan Pulau Pinang sampai sekarang.

“Ini bukannya masa untuk berpolitik. Kerajaan persekutuan perlu bekerjasama dengan semua pihak, termasuk kerajaan negeri tanpa melihat kepada perbezaan politik bagi menjayakan kempen melawan Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan.

Sim berkata kerajaan Pulau Pinang memohon kebenaran Kementerian Kesihatan sejak 15 Februari lagi untuk menerima sumbangan 2 juta dos vaksin Sinovac bagi kegunaan rakyat negeri tanpa melibatkan kos kepada kerajaan persekutuan.

“Namun selepas tiga bulan, permohonan tersebut masih tidak mendapat maklum balas daripada kerajaan persekutuan,” katanya, yang juga pengarah Kempen Lawan Covid-19 Pulau Pinang.

Sim merujuk kenyataan menteri penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin bulan lalu yang berkata kerajaan negeri yang berhasrat membeli sendiri bekalan vaksin boleh memohon kepada kerajaan persekutuan.

Menteri Muda Kesihatan Awam dan Perumahan Sarawak Dr Annuar Rapaee baru-baru ini berkata Sarawak akan menerima 500,000 dos vaksin jenis Sinovac yang dibeli melalui inisiatif kerajaan negeri.

Sim hairan bagaimana Sarawak dapat kelulusan daripada kerajaan persekutuan tetapi tidak Pulau Pinang.

“Adakah ini kerana perbezaan politik antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri Pulau Pinang?” soalnya.

Sarawak ditadbir kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang mendukung Perikatan Nasional di Putrajaya sementara Pulau Pinang diperintah kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Menurut Sim, isu bekalan vaksin adalah isu utama ketika Malaysia perlu memvaksin seramai mungkin rakyatnya menjelang Ogos ini.

“Sasaran vaksinisasi 80% penduduk Malaysia pada hujung tahun ini akan gagal jika kerajaan tidak membuat perubahan yang drastik kepada proses sedia ada,” tambahnya. – 18 Mei, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen