Vaksin Pfizer, Moderna berkesan lawan varian India, kata kajian


Kajian awal saintis AS mendapati vaksin Covid-19 Pfizer dan Moderna berkesan dalam melawan dua jenis varian yang ditemui di India. – Gambar EPA, 18 Mei, 2021.

VAKSIN Covid-19 Pfizer dan Moderna berkesan dalam melawan dua jenis varian yang dikesan di India, menurut kajian saintis Amerika Syarikat (AS).

Kajian berdasarkan ujian makmal yang dijalankan oleh NYU Grossman School of Medicine dan NYU Langone Center itu bagaimanapun dianggap sebagai dapatan awal dan masih belum diterbitkan dalam mana-mana jurnal perubatan.

“Kami mendapati antibodi vaksin berkenaan agak lemah melawan dua varian tersebut, tetapi masih berkemampuan melindungi manusia,” kata ketua penyelidik Nathaniel Landau kepada AFP semalam.

Dalam ujian makmal yang dijalankan, penyelidik mengambil darah dari individu yang sudah divaksin dengan sama ada Pfizer atau Moderna, yang diberi kepada lebih 150 juta orang di AS.

Sampel darah itu kemudian dicampur dengan zarah pseudovirus yang mengandung mutasi varian B.1.617 atau B.1.618, yang pertama kali dikesan di India.

Saintis seterusnya mendedahkan campuran tersebut kepada sel-sel yang dibiak di makmal, untuk melihat berapa banyak yang akan dijangkiti.

Zarah pseudovirus mengandung enzim dipanggil ‘luciferase’, yang menyebabkan badan kunang-kunang menyala. Pseudovirus ditambah untuk mengetahui berapa banyak sel yang dijangkiti, berdasarkan pengukuran cahaya.

Bagi varian B.1.617, saintis mendapati pengurangan hampir empat kali ganda dalam jumlah antibodi peneutral virus - protein berbentuk Y yang dihasilkan oleh sistem imun untuk menghentikan patogen daripada menyerang sel. Bagi B.1.617 pula, ujian mendapati jumlah antibodi peneutral virus berkurang tiga kali ganda.

“Dalam erti kata lain, beberapa antibodi yang ada tidak berupaya melawan varian berkenaan, tetapi masih banyak yang mampu melawan.

“Dengan itu, kami percaya vaksin-vaksin ini sangat berkesan memberi perlindungan,” kata Landau.

Tambahnya, ini kerana secara keseluruhannya dapatan ujian melebihi hasil kajian ke atas sampel yang diambil dari individu pulih dari jangkitan virus yang belum bermutasi dari strain asal.

Ujian makmal ini bagaimanapun tidak dapat diramalkan tahap keberkesanannya dalam situasi sebenar, dan memerlukan lebih banyak kajian, kata penyelidik. – AFP, 18 Mei, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen